HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2010

PM: Potongan subsidi ambil kira masa depan rakyat

Abdul Rahim Sabri



Sebarang keputusan berhubung pengurangan ataupun pemotongan subsidi di negara ini akan mengambil kira kesejahteraan masa depan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, setakat ini belum ada keputusan yang dibuat dan menegaskan bahawa maklum balas rakyat akan didapatkan terlebih dahulu.

"Tapi kalau kita buat sesuatu yang boleh menentukan kesejahteraan masa depan kita, itu terserah kepda rakyat untuk memikirkan perkara ini. Apakah kita mahu kebaikan jangka masa panjang atau mempertahankan status quo yang ada pada hari ini,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat majlis tertinggi Umno, hari ini

"Saya nak tunggu proses yang kita sedang buat nak dapatkan maklumat dan pandangan daripada orang ramai," katanya.

Najib berkata, pihaknya memerlukan maklumat timbal balas daripada rakyat, pandangan awam tertentu dari golongan tertentu supaya memberi penjelasan terbuka.

'Kerajaan akan membuat rumusan," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi berterusan.

Isu Malaysia-Singapura

Katanya, padangan Idris itu berdasarkan kepada unjuran.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut memberi penjelasan kepada MT berhubung penyelesaian perjanjian dengan Singapura yang dinamakannya 'PoA (point of aggrement) plus plus'.

"Penjelasan telah diterima baik oleh MT dan MT anggap penyelesaian yang menguntungkan Malaysia dan Singapura.

"Kita letak hubungan kita atas landasan yang lebih positif untuk kedua-dua negara," katanya.

Ditanya sama ada isu jambatan dan harga air dibincangkan dengan perdana menteri Singapura, Najib berkata kerajaan melihatnya secara berperingkat.

"Dalam satu pertemuan, tidak boleh selesai semuanya sebab ini isu legasi. Tapi yang paling besar ialah isu PoA.

"Saya percaya jika ada keyakinan antara satu dengan yang lain, lebih banyak perkara kita boleh atasi.

"Jika tidak boleh diatasi, ia tidak seharusnya dijadikan hambatan kepada kedua-dua negera. Ini kerana mungkin kita mempunyai perbezaan pandangan," katanya.

Berhubung apa yang dilalui oleh BN dalam pilihanraya di Sibu, Najib berkata MT telah mengambil maklum perkara berkenaan.

"Ada kekuatan kita, ada kelemahan kita. (Tapi) kita tak sebut secara terbuka di sini. Ia dianggap sebagai proses dalaman yang wajar dilalui oleh parti.

"Proses muhasabah ini lebih berfaedah kalau dibuat secara dalaman daripada diluahkan secara terbuka.

"Kita dapat rumusan tentang apa yang perlu diperbaiki oleh BN.

"Walaupun melibatkan BN Sarawak tapi Umno perlu ambil tahu sebab (Umno) bergantung kepada rakan-rakan kita dalam BN khususnya di Sarawak," katanya.

Ditanya berhubung hasil dapatan dalam pilihan raya itu, Najib enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: