Oleh Faizal Ezzany
KOTA BHARU - Kekuatan KEADILAN sebagai sebuah parti masa depan yang didokong rakyat terserlah apabila berlakunya pilihan raya dan populariti parti telah menyebabkan Umno- Barisan Nasional melakukan pelbagai usaha dan cara untuk memastikan kemenangan mereka.
"Dalam soal kuat atau tidak parti, kita kena melihat bagaimana gelisahnya Umno-Barisan Nasional setiap kali diadakan pilihan raya. Umno-BN melakukan apa jua cara untuk memastikan kemenangan mereka. Kerana ketakutan mereka itu menyebabkan mereka menggunakan wang ringgit dan juga pelbagai agensi kerajaan dalam kempen mereka.
"Kita perlu ingat kerana ketakutan akan menyebabkan kita akan menghadapi kekalahan, jangan biarkan sifat tersebut itu sentiasa berada dalam diri kita," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim.
Zaid juga menjelaskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat telah meningkat dan apa yang perlu dilakukan adalah melakukan sedikt perubahan pada parti demi mengukuhkan kedudukan.
"Dalam Pilihan Raya Umum 2008 Pakatan Rakyat mendapat sokongan daripada pengundi Melayu dan juga kaum lain, apa yang kita belum dapat adalah sokongan dari peneroka Felda, undi pos dan juga agensi kerajaan yang lain.
"Kita perlu buat perubahan bagaimana hendak mendampingi mereka dari kelompok tersebut, kita perlu tahu undi daripada kelompok itulah menjadi talian hayat BN setiap kali pilihanraya. Parti kita bukan berada atas asas perkauman, jadi guna kelebihan yang kita ada ini untuk terus mendampingi rakyat. Jangan jadi seperti Umno, perhimpunan yang mereka lakukan hanya untuk satu kaum sahaja.
"Saya tidak pernah bimbang dengan berita keluar parti kerana saya tahu kekuatan dalam setiap diri anggota KEADILAN, politik kita ini adalah politik masa sekarang bukannya politik BN yang sudah ketinggalan zaman.
"Tahniah saya ucapkan kepada setiap perwakilan kerana berani membuat teguran kepada setiap pemimpin atasan dan ini yang tidak berlaku didalam Umno mahupun BN. Teguran kita jadikan panduan untuk membuat perubahan, tetapi dalam BN teguran adalah tanda tamatnya riwayat mereka dalam parti," tegas beliau lagi semasa berucap dalam perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2009 petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan