HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2010

Malaysia perlu cari pengganti bahan api sedia ada

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mencari pengganti kepada bahan api sedia ada supaya rakyat tidak terbeban sekiranya subsidi bahan tersebut ditarik balik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, langkah mencari bahan bakar alternatif itu lebih berkesan supaya rakyat diberi pilihan dalam penggunaan bahan api.

''Secara tidak langsung penggunaan bahan api di negara ini dapat dijimatkan,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perayaan Hari Wesak anjuran Persatuan Buddha Miao You di Air Panas, Setapak di sini hari ini.

Tee Keat berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyebut keputusan sama ada mengekal atau mengurangkan subsidi akan ditentukan selepas kerajaan mendapat maklum balas daripada rakyat dan pelbagai pihak.

Tee Keat berkata, kerajaan juga akan terus meningkatkan prasarana pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan penggunaan bahan api di negara ini.

Katanya, antara usaha itu termasuk menaik taraf terminal bas di kawasan Lembah Klang termasuk di Bandar Tasik Selatan dan Gombak.

Selain itu, jelasnya, kerajaan juga akan menambah pembinaan perhentian bas di seluruh negara.

Mengenai sesi Makmal Rasionalisasi Subsidi, Tee Keat menjelaskan, ia bertujuan mendapat maklum balas rakyat berhubung pemansuhan subsidi.

''Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendengar pandangan, rintihan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat,'' katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, rakyat juga harus faham bahawa kerajaan memberikan subsidi dalam pelbagai sektor.

''Ini membuatkan ada yang tidak menyedari kerana banyak barang yang diberi subsidi sedangkan kerajaan yang menanggung bebannya,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam masa sama kerajaan tidak akan membiarkan golongan berpendapatan rendah terabai berhubung dengan subsidi ini.

Tiada ulasan: