HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2010

Tumpahan minyak masuk negara

JOHOR BAHRU - Tumpahan minyak akibat pelanggaran Kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga 3 yang membawa 61,858 tan metrik minyak mentah kelmarin, dilaporkan telah memasuki perairan negara di Tanjung Ayam, Pengerang hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Zulkifli Abdul Rahman berkata, keluasan tumpahan minyak yang dikesan pagi ini dianggarkan 1,600 meter panjang dan selebar 960 meter di kedudukan kira-kira 960 meter dari Tanjung Ayam.

Beliau berkata, pihaknya kini giat melakukan kerja-kerja bagi mengelakkan minyak sampai ke kawasan pantai termasuk dengan pemasangan 'boom' di kawasan yang terlibat.

''Kita akan melakukan operasi pembersihan minyak tersebut secara berterusan dengan bantuan Jabatan Laut Wilayah Selatan.

''Selain itu, kita akan menempatkan anggota di kawasan tersebut bagi memantau perkembangan semasa tumpahan minyak berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan yang terjejas buat masa terdekat sehingga proses pembersihan tumpahan minyak itu selesai.

Katanya, selain Jabatan Laut, pihaknya turut bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memantau perkembangan semasa tumpahan minyak berkenaan.

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, kapal MV Waily yang berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines yang dalam perjalanan ke Hong Kong, bertembung dengan Kapal Bunga Kelana 3 yang berdaftar di Pelabuhan Klang dan membawa 61,858 tan metrik minyak mentah sehingga menyebabkan pertumpahan minyak berlaku.

Kejadian berlaku di lokasi empat batu nautika Barat Daya Tanjung Stapa, Pengerang dan kira-kira 3.7 batu nautika dari perairan Singapura.

Tiada ulasan: