HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2010

Lebih 200 keluarga mohon mengambil bayi dibuang

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Dalam pada kes pembuangan bayi semakin meningkat dan merisaukan, masih terdapat anggota masyarakat yang prihatin dan mahu membela bayi-bayi terbuang tersebut.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur (Orphan Care), Datuk Adnan Mohd. Tahir berkata, perkara itu dibuktikan dengan lebih 200 permohonan diterima untuk mengambil bayi-bayi dibuang yang ditempatkan di pusat itu sebagai anak angkat.

Katanya, sambutan menggalakkan itu diperoleh pihaknya sejak berita berhubung pelindung bayi yang diwujudkan di pusat berkenaan dilaporkan dalam akhbar.

"Banyak keluarga menelefon saya untuk mendapat butir-butir terperinci mengenai proses permohonan mendapatkan anak angkat.

"Kini, terdapat lebih 200 keluarga di dalam senarai menunggu Orphan Care untuk mengambil anak angkat," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Orphan Care ditubuhkan pada April 2009 bertujuan memberi bantuan kepada gadis hamil luar nikah bagi memastikan ibu dan bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Pertubuhan itu berjaya memberi penjagaan baik kepada gadis yang mengandung dan menempatkan tujuh bayi yang tidak diingini kepada keluarga lain sepanjang tahun lalu.

Kini, Orphan Care mewujudkan ruang khas menempatkan bayi bagi membolehkan ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka, meninggalkannya dengan selamat.

Ruang tersebut yang dikenali 'pelindung bayi' adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan ia ditempatkan di pejabat pertubuhan itu di No. 6 Lorong SS1/24A, Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Adnan berkata, proses permohonan pengambilan anak angkat tersebut akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari.

"Pemohon perlu memohon melalui laman web Orphan Care iaitu www.orphancare.org.my.

"Selepas itu, kita memerlukan sedikit masa untuk mengadakan temu janji dengan pemohon dan memeriksa kesihatan mereka bagi memastikan keluarga tertentu mampu membesarkan bayi itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Orphan Care, Situ Azura Nordin Torji menasihati gadis Muslim yang menghadapi masalah seumpama itu agar menelefon atau berjumpa dengan petugas pertubuhan itu untuk mendapat bantuan sewajarnya.

"Tujuan kita adalah membantu ibu mengandung dan bayi itu bagi memastikan mereka berkeadaan sihat dan selamat," tegasnya.

Tiada ulasan: