HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mei 2010

Selepas Lesen Judi….. Lesen Rumah Pelacuran??


http://buletinonline.net/images/stories/berita26/demojudi%20035.jpgBukit Tunggal, KUALA NERUS – Setiap orang Melayu berugama Islam wajib bangkit membantah pengeluaran lesen judi kerana manusia diberi kuasa politik hari ini telah mencabar ketentuan hukum Allah SWT.

Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ada di antara orang Islam yang secara terang-terangan mengistiharkan perjudian dilesenkan.

Katanya, tindakan kerajaan melesenkan perjudian yang secara jelas dan nyata telah diharamkan oleh Allah SWT bertentangan dengan hukumNya.

“Hari ini kita (umat Islam) mendengar pelbagai isu besar yang melanda negara sampai kepada manusia berani mencabar hukum Allah SWT.

“Manusia berani meminda hukum Allah dan bukan sahaja berani melakukan maksiat kepada Allah. Bahkan, mereka berani mencabar ketentuan hukum Allah SWT sehingga ada di antara orang Islam yang secara terang-terangan mengistiharkan perjudian dengan memberi lesen-lesen baru kepada perjudian,” tegasnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Batu Enam, dekat sini, semalam.

Menurutnya, tindakan kerajaan Malaysia meluluskan lesen judi sempena perlawanan Bola Sepak Piala Dunia ini ditentang banyak pihak.

Katanya, banyak pihak tidak bersetuju serta menentang lesen judi diluluskan baik di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

“Hari ini kita (umat Islam) lihat bagaimana kerajaan kita (Malaysia) sanggup memberi lesen perjudian Bola Sepak Piala Dunia yang akan bermula seminggu dua lagi.

“Tindakan (lesen judi) ini ditentang oleh orang Islam dan orang bukan Islam. Hari ini kita (umat Islam) juga menyaksikan orang bukan Islam turut marah melalui perhimpunan-perhimpunan dan demontrasi-demontrasi,” ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyifatkan pemberian lesen judi bola tersebut akan menyuburkan lagi kemungkaran dalam masyarakat.

Oleh itu, katanya para ilmuan serta alim ulama’ perlu menyatakan pendirian yang jelas sama ada menyokong atau menentang.

“Pemberian lesen judi bola kononnya untuk mengawal perjudian daripada tidak berlesen yang tidak terkawal kepada yang berlesen dan dikawal oleh kerajaan.

“Tindakan itu sebenarnya menyuburkan lagi kemungkaran dalam sebuah negeri dan masyarakat. Oleh kerana itu, golongan yang diberi ilmu, golongan alim ulama’ supaya menyatakan pendirian bila mana zahirnya kemungkaran dalam sesebuah masyarakat,” ujarnya.

Dato’ Tuan Ibrahim menegaskan bila Allah Ta’ala mengharamkan perjudian, arak, perzinaan dan sebagainya semua itu mempunyai kebaikan untuk manusia.

“Orang yang menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah, maka dia (manusia) telah mencabul hak Allah SWT dan boleh merosakkan aqidah.

“Jangan rasa pelik suatu hari nanti jika kita (umat Islam) gagal mencegah perjudian akan ada pula lesen-lesen rumah pelacuran. Kononnya, untuk mencegah kejadian rogol dan maksiat,” ujarnya.

Tiada ulasan: