HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2010

Bantah PKNS bina ibu pejabat

SELANGOR KINI

SHAH ALAM– Jawatankuasa adhoc Pembantahan Pembangunan membantah pembinaan pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Taman Tasik Shah Alam kerana dibimbangi akan memusnahkan kawasan hijau di tasik itu.

Ahli Jawatankuasa, Datuk Emran Kadir berkata, bantahan itu mendapat sokongan 1000 tandatangan yang terdiri daripada penduduk di sekitar Shah Alam.

“Kami sebulat suara membantah pembangunan itu kerana pembinaan sedemikian akan menyukarkan ramai pihak,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Shah Alam, semalam.

Tambahnya, pembangunan itu akan memusnahkan alam sekitar dan ekosistem taman tasik dalam usaha mengekalkan kawasan hijau yang sedia ada kerana pokok-pokok itu sudah berusia hampir 30 tahun.

“Pemusnahan pokok dan kawasan hijau dalam pembangunan boleh menjejaskan kualiti udara dan air di tasik.

“Di awal perancangan penubuhan Shah Alam, kawasan itu dikenalpasti sebagai kawasan rekreasi tetapi PKNS telah menukarnya kepada pusat komersial dan secara tidak langsung telah merosakkan ekosistem taman tasik,” katanya lagi.

Menurutnya, laluan sekarang di taman tasik itu sesak dan jika bangunan didirikan, laluan semakin sesak dan menyukarkan orang ramai.

Katanya lagi, pembinaan konkrit akan mengurangkan oksigen dan aktiviti bersukan seperti bersenam dan berjoging akan terganggu.

“Saya menyarankan agar PKNS menubuhkan pejabat baru itu di bangunan MRCB yang terbengkalai atau membangunkan semula kompleks PKNS yang telah sedia ada.

Katanya, mereka telah menyuarakan lima usul yang boleh diterima pakai tentang pembangunan bangunan tersebut.

“Saya tidak melarang pembangunan tersebut tetapi, PKNS boleh menggunakan alternatif lain,” katanya. SINARHARIAN

Tiada ulasan: