HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mei 2010

KEADILAN Diminta Bela Peneroka Felda, Orang Asal, Rakyat Miskin Sabah

Oleh Fazli Othman


KOTA BHARU - Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-6 yang bermula hari ini diminta mengambil berat isu peneroka Felda, hak Orang Asal dan nasib rakyat Sabah yang dihimpit kemiskinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat, Aminuddin Harun meminta supaya Pakatan Rakyat memberikan tumpuan mendekati warga peneroka Felda yang berjumlah hampir dua juta diseluruh negara.

"Felda merupakan institusi besar maka kita meminta pemimpin turun berkempen di kawasan tersebut.Kita juga memohon Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memastikan warga Felda mendapat pembelaan yang lebih baik.

"Kita minta supaya Ahli Jawatankuasa Bertindak bagi membela nasib peneroka ditubuhkan untuk membantu warga Felda," kata Aminuddin.

Fungsi ahli jawatankuasa bertindak tersebut kata beliau adalah untuk memperkasakan dan membantu peneroka berhubung isu geran tanah.

Aminuddin juga memuji kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah berjaya menyerahkan 1,782 geran tanah daripada jumlah 1,929 yang dipohon peneroka.

Di samping itu beliau juga meminta supaya generasi kedua Felda diberi perhatian berhubung rizab tanah dan mengubah struktur organisasi Felda yang dilihat tidak memberikan sebarang keuntungan apabila Pakatan Rakyat berkuasa pada peringkat pusat nanti.

Pembahas kedua pula, Ramli Logan yang merupakan wakil kepada Orang Asal dari Pahang meminta supaya perhatian berhubung hak Orang Asal berkaitan tanah adat yang semakin berkurangan akibat dirampas oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk perladangan dan pembalakan.

"Kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan nasib Orang Asal. Perlembagaan Persekutuan juga tidak menyatakan hak Orang Asal di mana kami tidak diiktirafkan sebagai Bumiputera tapi diletakkan sebagai lain-lain kaum.

"Orang Asal dikatakan kaum lain-lain, adakah kami ini makhluk asing datang dari Marikh?," soal Ramli dalam nada sinis pada para perwakilan.

Tambah beliau, Umno-BN sekarang ini cuba melakukan penghapusan etnik terhadap Orang Asal.

"1Malaysia yang diwar-warkan Najib sebenarnya bermaksud pembalakan didahulukan, projek diutamakan, orang miskin diabaikan, Orang Asal dipinggirkan," ujarnya lagi.

Manakala pembahas terakhir daripada Sabah, Awang Laiman Ikin berkata Umno-BN memperbodohkan orang pendalaman dengan dijanjikan pelbagai projek untuk dilaksanakan.

"Rakyat Sabah juga mengalami masalah tanah yang dihadapi penduduk Sabah. Kerajaan menguasai tanah dan rakyat di Sabah tidak mempunyai kuasa," kata beliau.

Awang Laiman turut melahirkan kekesalannya apabila 80 aduan yang dibuat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak diambil tindakan sewajarnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tiada ulasan: