KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak mendapatkan rawatan daripada dukun atau pengamal perubatan tradisional tidak berdaftar kerana ini boleh menyebabkan penyakit bertambah teruk atau mungkin mengakibatkan maut.
"Jika mereka memerlukan rawatan alternatif, mereka boleh ke hospital tertentu kerajaan yang menyediakan perubatan tradisional," kata Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&C) Kementerian, Dr. Ramli Abdul Ghani.
Beliau memberitahu, pada masa ini enam hospital - di Kepala Batas, Putrajaya, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching menyediakan rawatan sedemikian.
Dua lagi hospital - di Port Dickson dan Alor Star akan mula menyediakan perkhidmatan seumpama itu lewat tahun ini.
Antara khidmat disediakan ialah akupunktur, urut tradisional Melayu dan ubatan herba.
Dr. Ramli mengulas laporan mengenai seorang wanita ditipu oleh seorang dukun yang mendakwa telah mengubati kanser hatinya.
Bagaimanapun, imbasan CT kemudian menunjukkan bahawa kanser itu telah mencapai tahap empat dan penyakit itu telah merebak ke bahagian lain badannya.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan komplementari terkenal, Dr. V.M.
Palaniappan berkata, Malaysia antara segelintir negara di dunia yang menyokong kuat amalan perubatan komplementari.
Beliau berkata, orang ramai tidak harus bimbang jika 'sekali sekala' pengamal perubatan palsu dibongkar.
Keadaan seperti ini biasanya wujud dalam semua profesion. Dr Palaniappan, bekas Profesor Madya University Malaya, mencadangkan kementerian berkenaan menyusun direktori semua pengamal perubatan tradisional bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan dan menyekat pengamal perubatan palsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan