HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Oktober 2010

Anak gesa Felda tamatkan khidmat subsidiari Techno Plant


KUALA LUMPUR – Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) menggesa Felda menamatkan kontrak perkhidmatan anak syarikatnya, Techno Plant Sdn Bhd yang didakwa sebagai punca kegagalan dalam memberikan pulangan memuaskan kepada peneroka.

Selain itu, Techno Plant Sdn Bhd juga gagal menepati perjanjian yang dibuat dengan peneroka termasuk dari segi tanam semula sawit, harga baja dan beberapa isu lain.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata Techno Plant Sdn Bhd yang selama ini menyelenggara kebun peneroka telah gagal memberikan pulangan yang memuaskan.

“Peneroka memang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan Techno Plant Sdn Bhd selama ini.

“Malah peneroka yang menguruskan kebun sendiri pendapatan mereka adalah jauh lebih tinggi daripada peneroka yang serahkan urusan kebun kepada Techno Plant Sdn Bhd.

“Jadi saya minta supaya Felda menamatkan perkhidmatan Techno Plant Sdn Bhd dan serahkan urusan kebun peneroka kepada koperasi-koperasi Felda,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Mazlan juga mempersoalkan tindakan Felda yang enggan menyerahkan Wang Tanam Semula kepada peneroka yang melaksanakan kebun secara persendirian walaupun telah mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

“Bila Felda arahkan pokok tua ditebang peneroka ikut, bila Felda suruh tanam pokok baru pun peneroka ikut.

“Malah semua prosedur yang ditetapkan Felda telah dipatuhi peneroka namun Felda tetap enggan menyerahkan Wang Tanam Semula.

“Felda juga tidak membayar Wang Tanam Semula mengikut pakej berjadual yang telah dipersetujui malah apa yang mengejutkan Felda dengan sewenang-wenangnya membuat potongan baru caruman Wang Tanam Semula sebanyak RM114 hingga RM119 sebulan bagi setiap peneroka,” kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu.

Dalam sidang media tersebut Anak telah membuat beberapa tuntutan terhadap Felda iaitu kembalikan caruman Wang Tanam Semula Peneroka serta-merta tanpa syarat; hentikan potongan caruman Wang Tanam Semula kali kedua hingga jelas soal Bantuan Tanam Semula dan kadar sebenar yang patut dikenakan; dan mengisytiharkan penyata yang tepat dan disahkan audit setiap kos Pembangunan Tanam Semula mengikut semua jenis potongan.

Anak juga mahu Felda mengkaji semula penggunaan baja yang diberikan Felda kerana terlalu mahal sedangkan kualitinya dipersoalkan.

Sementara itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata parti Islam itu akan terus memastikan nasib dan hak peneroka yang ditipu selama ini akan terbela.

“Kita akan tetap membela nasib peneroka kerana masih banyak isu yang perlu ditangani.

“Selama ini kita dituduh membuat fitnah dalam isu Felda ini namun dengan kemenangan peneroka di mahkamah membuktikan bahawa memang wujud penyelewengan dan penipuan yang besar dalam Felda.

“Penyelewengan yang berlaku ini kita sifatkan sebagai pencabulan hak orang Melayu yang mana lebih 90 peratus peneroka terdiri daripada orang Melayu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak) berkata beberapa program akan diadakan bagi mendapatkan maklumat daripada peneroka.

“Kita akan adakan siri bersama peneroka di beberapa buah negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Kita pilih negeri-negeri ini kerana terdapat banyak Felda di negeri tersebut," katanya.

Akhir bulan lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan berhubung kes tuntutan manipulasi gred buah kelapa sawit.

Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan peneroka berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya berikutan saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, hakim memutuskan, bayaran berkenaan hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak mencukupi.

Tiada ulasan: