HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2010

Khairy: Pemuda pastikan Putrajaya tak jatuh ke tangan ‘saudagar mimpi’


KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin memberi jaminan Pemuda Umno akan mempertahankan Putrajaya daripada dimiliki oleh “saudagar-saudagar mimpi.”

“Kepada saudagar mimpi, saya tidak sebaik presiden kerana saya gelarkan mereka sebagai haiwan mitos Rom Carberus.

“Pembangkang ini seperti Carberus yang berkepala tiga, satu kepala nak negara Islam, satu kepala nak sama sama semua manakala satu kepala lgi satu kepala nak sama depan belakang.

“Kalau kita serahkan negara kita kepada saudagar mimpi berkepala tiga ini habis negara kita. Saya mewakili Pemuda Umno dan Pemuda BN berjanji akan mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang,” kata Ketua Pemuda Umno (gambar) ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2010.

Ketika pembentangan Bajet 2011 minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan pimpinan BN bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan.

“Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata. Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi.

“Percayalah, bahawa kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi untuk populariti jangka pendek.

“Yakinlah, bahawa kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, berkata Umno perlu melakukan lebih transformasi kerana dilihat rakyat sudah semakin lupa akan perjuangan parti Melayu terbesar itu selama ini.

“Ramai sudah lupa atau buat-buat lupa akan perjuangan Umno, selama ini apa yang kita dapat semuanya daripada Umno.

“Tapi mereka sudah lupa, kita perlu memberikan dividen politik kepada mereka. Kita perlu jenamakan Umno sebagai penggerak transformasi rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Penjenamaan Umno ini perlu sentiasa dekat kepada rakyat, selain daripada projek-projek kemasyarakatan kita perlu mengambil pendekatan lebih untuk dekat kepada rakyat,” katanya.

Justeru Khairy mencadangkan supaya sebuah institusi pemikir Umno diwujudkan sebagai langkah mendekatkan Umno dengan rakyat.

“Saya cadangkan satu institusi pemikir Umno diwujudkan untuk bawa parti kita kepada rakyat.

“Dalam institusi ini kita boleh gabungkan orang muda, profesor dan sebagainya untuk bawa masalah mereka kepada kita,” katanya.

Tambahnya, sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera masih belum mencapai matlamat dan beliau mensasarkan peratusan itu akan tercapai menjelang 2020.

“Mengenai ekuiti 30 peratus, kita masih tidak mencapainya. Setakat ini kita hanya mencapai sehingga 21 peratus sahaja.

“Jadi kita perlu bawa orang Melayu untuk mencapai 30 peratus ekuiti ini menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, parti perlu meneruskan transformasi dan pada masa sama mencari penawar yang boleh menguatkan Umno.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana perkara yang tidak jelas. Kita perlu meneruskan transformasi dan memandang ke depan.

“Kita kena cari formula terbaik untuk memperkasakan bangsa kita.

“Perlu cari penawar, kita jangan mudah melatah. Jangan beri ruang daripada hak-hak kita dipersoalkan,” katanya.

Beliau berkata pembangkang akan menyerang Umno secara berterusan dan tidak akan berhenti sehingga memiliki Putrajaya.

“Kita juga perlu elakkan sebarang persengketaan dalaman. Musuh kita sudah nyata, mereka tidak lekang daripada menyerang kita.

“Terbaru isu Menara Warisan juga dijadikan isu, mereka tidak akan berhenti-henti daripada menyerang kita. Jadi kita jangan terikut-ikut dengan politik murahan ini.

“Justeru kita akan terus memperjuangkan Umno, Puteri tidak rela dipimpin oleh pengkhianat negara,” kata Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar.

Tiada ulasan: