Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Sikap double standard pihak polis dalam menangani perarakan dengan jelas memberikan kerjasama yang baik kepada pihak Umno, tetapi bertindak sebaliknya pula ke atas Pakatan Rakyat, dikecam keras oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia. Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon ketika membuat kecaman itu berkata, pihak polis tidak seharusnya bersikap sedemikian kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang. Menurutnya, namun ketika Umno dan pihak polis sendiri telah melakukan pelbagai provokasi untuk menghalang Himpunan Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai ini, pihak polis juga turut bersikap sebaliknya pula terhadap perarakan yang diadakan oleh Umno. Katanya, sikap double standard pihak polis itu boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai hari ini apabila mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada Pemuda Umno Malaysia yang mengadakan perarakan ke Balai Polis Tropicana untuk membuat laporan polis. "Walaupun tindakan Pemuda Umno itu sendiri jelas merupakan provokasi, tetapi pihak polis tetap juga memberikan kerjasama yang baik kepada mereka dari awal hingga akhir sehingga mereka bukan sahaja boleh melakukan perarakan dengan baik, tetapi juga boleh melaksanakan agenda mereka dengan sempurna," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini. Sebelum itu, sekitar 40 orang Pemuda Umno Malaysia telah melaksanakan agenda provokasi mereka dengan membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana, berhubung dakwaan yang dikatakan oleh mereka sebagai tidak berasas yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution baru-baru ini. Mereka yang diketuai oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Nizar Marican dan Exconya, Lokman Adam serta Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Rizal Man pada awalnya dijangka tiba di Balai Polis Tropicana sekitar jam 11.00 pagi tetapi terlewat sehingga jam 12.00 tengah hari. Pada awalnya, mereka didakwa akan benar-benar bertindak di luar batas dengan membakar ibu pejabat PKR ekoran kenyataan mereka sendiri mengenai perkara itu, tetapi sebenarnya hanya sekadar hadir untuk membuat laporan polis. Ekoran dakwaan itu, seramai tidak kurang 30 orang ahli AMK telah berkawal di ibu pejabat PKR sejak sekitar jam 11.00 pagi ini bagi menyelamatkan ibu pejabat parti mereka dari menjadi mangsa provokasi pemuda Umno. Setelah sejam menunggu, Nizar, Lokman, Rizal dan rakan-rakannya akhirnya muncul juga dengan berpakaian baju merah bertulis Patriot dengan membentuk satu perarakan, sesetelah memberhentikan kereta mereka di tepi jalan raya sekitar 300 meter dari balai polis tersebut. Perarakan mereka ternyata mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis sehingga mereka terselamat dari sebarang ancaman dari pihak AMK yang ternyata mampu mengawal perasaan dengan baik, walaupun tindakan pemuda Umno itu sendiri telah dirasakan sebagai tindakan provokasi yang jelas terhadap mereka. Setelah laporan polis dibuat, Nizar dan Lokman pada sidang media mereka menegaskan, dakwaan pihak PKR bahawa mereka ingin membakar ibu pejabat PKR disifatkan sebagai satu tuduhan liar, malah mereka mendakwa tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian dan melakukan sebarang provokasi. Sehubungan itu, mereka ingin mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin berhubung dakwaan itu. Pada sidang media itu, mereka juga menegaskan, Pemuda Umno tetap akan turun untuk mengadakan perarakan pada 9 Julai ini sekiranya Bersih tetap meneruskan perancangannya untuk mengadakan perhimpunan pada hari itu. Menurut Khai Loon, dakwaan Pemuda Umno yang mereka tidak mempunyai niat untuk melakukan provokasi ternyata tidak berasas kerana sebelum ini mereka sendiri telah mengeluarkan kenyataan untuk membakar ibu pejabat PKR. Beliau mendakwa, kenyataan Lokman untuk membakar ibu pejabat PKR itu bukan sekadar didengar oleh pihak tertentu, tetapi juga turut dirakam oleh pihak tertentu dan rakaman itu juga turut berada dalam simpanan PKR. "Begitu juga dengan dakwaan mereka yang mereka sekadar ingin membuat laporan polis dengan aman, ternyata tidak berasas kerana Balai Polis Tropicana terletak amat dekat dengan ibu pejabat PKR. "Jadi, kalau tidak kerana hendak membuat provokasi, kenapa mereka memilih Balai Polis Tropicana untuk membuat laporan polis, sedang masih banyak lagi balai-balai polis lain yang mereka boleh kunjungi untuk membuat laporan? "Dalam masa yang sama, pihak polis pula memberikan kerjasama yang baik kepada mereka. Tindakan pihak polis itu amat berbeza ke atas pihak Pakatan Rakyat sehingga mereka menentang keras rancangan Bersih untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini. "Jadi sekarang kepada pihak polis, kita minta mereka bertindak adil. Jika mereka boleh memberikan kerjasama dan layanan yang cukup baik kepada Pemuda Umno, pihak polis juga diharap turut bersikap sedemikian kepada pihak Pakatan Rakyat dan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini," katanya. Beliau turut lega apabila kunjungan Pemuda Umno ke kawasan itu hari ini tidak disambut dengan kekasaran oleh ahli AMK, walaupun mereka mendakwa cuba diprovokasikan dengan beberapa tindakan, termasuk menerusi cabaran agar mereka ditumbuk oleh AMK jika AMK berani. Kunjungan Pemuda Umno ke kawasan itu dikawal dan diberikan kerjasama baik oleh kira-kira 20 anggota polis. Selain mengawal keadaan, pihak polis turut mengadakan dua sekatan jalan raya di kawasan itu bagi menghalang kedua-dua pihak mengadakan perhimpunan lebih besar. Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) kesal dan kecewa di atas tindakan segerombolan Pemuda Umno yang diketuai oleh exco pergerakan pemudanya, Lokman Nor Adam kerana cuba untuk mencetuskan provokasi dan huru-hara di hadapan ibu pejabat PKR di Tropicana, di sini, semalam. Tindakan tersebut dilakukan oleh mereka dengan mengadakan perhimpunan khas yang ternyata satu perhimpunan tidak sah serta disulami dengan pelbagai ugutan, ancaman dan kata-kata berbaur hasutan. Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, lebih dikesali oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor apabila himpunan tersebut berlaku berhampiran dengan Balai Polis Tropicana. Menurut beliau, bagaimanapun, anggota polis di situ hanya menjadi penonton dengan tiada sebarang tindakan dan tangkapan dibuat ke atas mereka. Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan memantau dan mengharapkan penjelasan daripada pihak polis tentang tindakan mereka terhadap perkara itu. "Ini kerana terdapat 2 versi yang berbeza berkenaan tindakan polis untuk menangani perhimpunan yang membabitkan orang ramai. "Sekiranya pihak Umno/BN ataupun pihak yang pro kepada mereka, maka pihak polis akan memberikan kerjasama dan kawalan keselamatan yang baik untuk mempastikan perhimpunan berjalan lancar," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. Namun, menurut beliau, sikap pihak polis ternyata berbeza pula apabila pihak NGO dan parti pembangkang yang pro Bersih cuba untuk mengadakan himpunan aman. "Pada hal, himpunan yang diadakan oleh NGO dan parti pembangkang yang pro Bersih itu tanpa ada sebarang unsur-unsur provokasi, kecaman, ugutan dan kata-kata berbaur hasutan, tetapi tidak pula mendapat kerjasama pihak polis, malahan ada yang ditangkap di atas sebab-sebab keselamatan. Katanya, pihak polis sepatutnya tidak bersikap “double standard” di dalam menangani persoalan itu kerana ini akan menjatuhkan maruah dan integriti pihak polis sebagai pasukan yang dihormati pada pandangan masyarakat sekiranya terus dipergunakan sebagai alat untuk meneruskan kesinambungan penguasaan kuasa pihak tertentu. "Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan pihak polis agar berlaku adil, telus dan berwibawa di dalam menangani isu yang membabitkan hak-hak rakyat Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat," tegasnya. |
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 1 Julai 2011
Bersih 2.0: Polis tidak patut double standard
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan