Fuad Nurhadinata |
PASIR PUTEH: Petunjuk pilihan raya umum ke-13 kini semakin jelas apabila kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan Sabtu ini dikatakan melengkap misi jelajah Presiden Umno ke seluruh negara. Ukuran konvensional akan digunapakai bagi mengukur seramai mana rakyat Negeri Cik Siti Wan Kembang meraikan kedatangan Perdana Menteri. Ia dijangka menjadi faktor penyumbang menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13. Pemimpin Umno di sini tidak mahu mengulangi kesilapan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Bachok bulan lepas kelihatan hambar, tiada sambutan. Oleh itu bagi menjaga imej ketua negara, pemimpin Umno di Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu kini terpaksa bekerja keras memastikan kehadiran Najib mendapat sambutan hangat. Di Pasir Puteh kakitangan kerajaan pusat sudah menerima kad jemputan supaya hadir pada program perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik. Difahamkan kad tersebut akan dikutip semula wakil-wakil jabatan yang berada di tempat program untuk memastikan kesemua kakitangan pusat hadir. Seorang guru ketika ditemui mendakwa beliau menerima kad jemputan tersebut untuk hadir pada program bersama perdana menteri Sabtu ini. “Kad yang diterima mesti diserah balik kepada pihak urusetia yang menunggu di tempat program di SK Sri Aman” katanya di sini. Difahamkan ada tempat khas disedia kepada wakil-wakil setiap jabatan pusat di tempat program untuk memungut kembali kad jemputan daripada setiap kakitangan yang hadir. Guru terbabit juga memberitahu setiap Pengerusi PIBG dikehendaki membawa lima ibu bapa pelajar hadir di program berkenaan. Arahan serupa juga diberi kepada mubaligh Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan guru-guru Kafa. JKKKP difahamkan perlu membawa sekurang-kurang 10 orang penduduk. Begitu juga mubaligh yang makan gaji dengan kerajaan pusat. Seorang peniaga, Hussin Mamat pula memberitahu beliau menerima kad jemputan daripada sebuah bank supaya hadir pada program bersama Perdana Menteri di SK Sri Aman. Beliau juga mendakwa penduduk kampung yang mendapat bantuan di bawah kerajaan pusat juga dikerah hadir. Baru-baru ini Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman menganggar kira-kira 20,000 ahli parti itu menyertai program lawatan Perdana Menteri di jajahan tersebut 2 Julai ini. Menurutnya badan-badan bukan kerajaan terutama golongan belia, peniaga, petani dan nelayan akan turut serta. Sebelum ini Zawawi dikatakan mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah mewajibkan semua guru di Pasir Puteh hadir pada pelancaran program gelombang merah. Kehadiran guru-guru berbaju merah dianggap ketua Umno terbabit sebagai sambutan luar biasa. Sedangkan kehadiran mereka dipaksa. Seorang lagi guru mendakwa Ahad ini dijangka diumumkan sebagai cuti peristiwa bagi sekolah-sekolah di Pasir Puteh. Najib juga dijadual menunaikan solat Zohor di Masjid Kampung Pulau Lima. Sebelum itu Najib dan isteri dijangka tiba di Gong Kedak, Terengganu pada jam 9.40 pagi. |
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 1 Julai 2011
Kakitangan pusat diwajib hadir sambut Najib
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan