Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menganjurkan misi kemanusiaan ke Gaza kedua Ramadhan ini yang dijangka bermula pada 15 Ogos nanti. Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, misi kedua ini disertai 32 aktivis yang akan memasuki Gaza melalui Rafah. Menurutnya, pada tahun lalu mereka berjaya melepasi Rafah juga pada bulan Ramadhan yang dianggotai 44 orang. Tujuan misi kali ini, jelasnya, untuk melanjutkan usaha melaksanakan beberapa projek kemanusiaan yang dikenalpasti dalam misi lalu. “Antaranya pembinaan sebuah hospital kanak-kanak, pembinaan semula masjid, pembinaan jalan di daerah Khan Yunis, projek Taman Pemulihan kanak-kanak Trauma Pasca Perang, pembinaan Markaz Ulama Rantau Asia, program bandar berkembar dan penawaran pengajian perubatan di Malaysia. “Rombongan kali ini juga menyertai program menyaksikan penyempurnaaan pembinaan sebuah masjid di Beit Hanun di utara Gaza iaitu Masjid An Nasr yang disumbang oleh dana yang dikumpul Mapim sejak tahun lepas,” ujarnya. Untuk rekod, misi tahun lalu diberi nama Gaza Ramadhan March for Freedom telah berjaya menghantar bantuan bernilai RM350,000 secara langsung kepada rakyat Gaza. Tahun lalu, anggota rombongan telah melaksanakan tugas mencari fakta berkaitan dengan keadaan kesihatan, masjid, infrastruktur, pendidikan, pertanian, pusat pengajian tinggi serta sistem politik di Gaza. Selain itu, rombongan juga melihat kesan-kesan kemusnahan akibat Perang Furqan iaitu serangan Israel ke atas Gaza selama 22 hari dari 28 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009. Kali ini, Mapim akan melengkapkan lagi pengumpulan maklumat yang berkaitan dengan pelbagai kegiatan NGO yang wujud di Gaza dalam rangka mengenalpasti bagaimana NGO di Malaysia boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan dan NGO di Gaza dengan lebih berkesan. MAPIM juga mengatur pertemuan dengan pelbagai kelompok masyarakat sivil di Gaza dari pelbagai sektor seperti wanita, belia, mahasiswa, profesional, ulama, petani, nelayan, usahawan, warga media, ahli akademik, seniman dan budayawan, badan kebajikan dan kanak-kanak, NGO kesihatan serta pendidik sekolah. Melalui usaha-usaha itu, Mapim berharap misi kali ini akan mengukuhkan lagi usaha merampatkan hubungan rakyat ke rakyat antara Malaysia dan Gaza khususnya serta Palestin umumnya. Ramadhan di Gaza kedua ini berhasrat merapatkan hubungan antara Malaysia dan Gaza di pelbagai lapisan agar manfaat dua hala dapat dicapai untuk dimanfaat secara langsung oleh kedua belah pihak. Untuk tujuan itu, Mapim sedang membuka penyertaan anggota rombongan dari NGO dan individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan dalam misi ini. Mereka harus bersedia untuk bukan sahaja mengikuti rombongan tersebut tetapi menjadi sukarelawan berterusan untuk membantu menjayakan pelbagai projek pemulihan Gaza yang diusahakan Mapim. Misi kali ini mengharapkan peserta akan siap membiayai perbelanjaan perjalanan sendiri serta boleh mengumpul dana untuk dibawa bersama bagi disumbangkan kepada rakyat Gaza. MAPIM berharap agar misi ini akan juga disertai oleh wakil-wakil NGO, ahli politik, ulama, media dan ahli profesional seperti misi yang lalu. |
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 1 Julai 2011
Mapim anjur misi kemanusiaan Gaza kedua
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan