HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 November 2011

Teguran audit bakal dipersia pemimpin BN

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Selain komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 36 fail siasatan susulan beberapa isu dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 (LKAN ‘http://umno-online.com/wp-content/uploads/2011/10/kdeb-300x1751.jpg10), reaksi lebih bertanggungjawab daripada para pemimpin negara setakat ini belum kedengaran.

Sehingga rencana ini ditulis (Khamis), belum ada mana-mana menteri atau timbalannya mengulas mengenai kelemahan dan salah urus kewangan yang didedahkan laporan terbabit.

Media arus perdana yang selalunya menjadi medan menyebarluas dan menjela-jelakan kejayaan pemerintahan Barisan Nasional (BN) juga tidak begitu galak bercakap soal LKAN ‘10. Laporan mengenainya hanya sepintas lalu dan amat hambar. Tiada analisis mahu pun ulasan terperinci dibuat sepertimana lazimnya media terbabit menggemariuhkan sesuatu pencapaian positif BN.

Ia sebaliknya seakan sengaja mengalihkan tumpuan pelaporan kepada berbagai isu lain, termasuk isu Himpun dan ura-ura akta murtad, serta isu tiket perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia yang ‘cekik darah’. Apakah sebabnya tidak sukar difahami. Sebahagian besar pendedahan LKAN ’10 tidak menguntungkan BN, sebaliknya menjadi modal tambahan buat parti lawan. Bukankah segala kepincangan dan kelemahan pengurusan kewangan itu bukti jelas yang boleh dikaitkan dengan kegagalan pemerintahan parti itu?

LKAN ‘10 yang diantara lain mendedahkan tujuh kementerian dan agensi kerajaan berada pada tahap pengurusan kewangan lemah. Tujuh kementerian dan agensi itu ialah Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan; Lembaga Hasil Dalam Negeri; Kastam Diraja Malaysia dan Perbadanan Stadium Nasional.

Berbagai aspek pengurusan kewangan diaudit dan ditegur. Namun yang paling mendapat perhatian umum ialah perbelanjaan meragukan dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak. Perincian laporan itu mendedahkan betapa wewenangan membelanjakan peruntukan kerajaan masih berulang walau pun tabiat sama sentiasa dibangkitkan dalam setiap laporan audit saban tahun.

Dalam laporan kali ini, Jabatan Audit Negara (JAN) antara lain menyebut kes pembelian 23 ekor kuda oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Kejohanan Kuda Lasak Dunia 2008 dan Pertandingan Ekuestrian Antarabangsa (WEG) 2010 serta Sukan Asia 2010 di China. Kesemua kuda itu dibeli dengan harga RM5.6 juta.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, sepatutnya hanya enam ekor kuda bernilai RM1.98 juta perlu dibeli untuk kegunaan kedua-dua temasya sukan tersebut. Bermakna sudah berlaku lebihan perbelanjaan yang tidak sepatut berjumlah lebih RM3.6 juta.

Lebih meragukan, siasatan juga mendapati hanya lima daripada 23 ekor kuda itu yang melepasi tahap layak bertanding. Justeru, 18 ekor kuda bernilai RM3.94 juta sepatutnya tidak dibeli sedari awal apabila gagal memenuhi syarat ditetapkan Persatuan Antarabangsa Ekuestrian.

Akibatnya kuda yang selebihnya itu terpaksa diagihkan kepada lima pihak lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua universiti tempatan.

Sepertimana di tahun-tahun sebelumnya, LKAN ‘10 juga mendedahkan beberapa kes perbelanjaan terlampau dan tidak masuk akal. Antara contoh disebutkan ialah bagaimana sebuah syarikat yang mendapat tender dengan Mara membekalkan ketuhar kepada Giatmara dengan harga RM1,200 seunit, sedangkan harga pasaran unit tersebut hanya RM419.

Transaksi pembelian beberapa peralatan oleh Jabatan Taman Laut bahkan jauh lebih tidak munasabah. Antara peralatan yang dibeli melebihi harga pasaran termasuk komputer riba dengan harga RM11,845 berbanding hanya RM3,428 harga pasaran. Bermakna harga belian itu hampir 245 peratus lebih mahal.

Lebih teruk lagi, pembelian TV LCD dengan harga RM16,100 berbanding harga pasaran hanya RM2,182. Entah berapa ratus peratus lebihan perbelanjaan itu?

Dua jenis alat pandang jauh dibeli jabatan berkenaan juga membabitkan wewenangan serupa. Marine Binocular dengan harga pasaran RM1,940 dan Bushnell Binocular dengan harga asal RM2,827 dibeli dengan harga RM56,350 tiap-tiap satu. Lebihan perbelanjaan itu melebihi 2,000 peratus.

Begitu juga dengan harga kontrak alat ‘Colour Marine Radar (X-Band)' bernilai RM47,725, iaitu 478 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran hanya RM8,255.

Banyak lagi contoh pembelian peralatan yang sedemikian boros dan tidak munasabah dikemukakan dalam LKAN ’10. Itu belum lagi disentuh soal kegagalan mengikuti peraturan pengurusan kewangan atau projek dilaksanakan yang gagal mencapai objektif. Antaranya, JAN mendapati 188 jabatan, pejabat Persekutuan peringkat negeri dan daerah yang masih melakukan kesilapan dan gagal mematuhi prosedur utama yang diaudit.

Begitu juga dengan kes-kes peralatan digunakan tidak menepati tahap piawaian keselamatan, termasuk kenderaan tentera yang terlebih tempoh dan bumbung beberapa stadium utama yang kebocoran. Manakala 37 projek bernilai RM28.37 untuk Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah antara contoh yang gagal mencapai objektifnya.

Masalah utama dalam keseluruhan isu dibual bicarakan ekoran pendedahan LKAN ‘10 ialah betapa segala kelemahan pengurusan kewangan itu adalah tabiat yang sudha berulangkali didedah dan ditegur JAN. Sikap jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mengambil endah teguran-teguran serupa sebelum ini menjadikan kerja pengauditan itu seolah-olah suatu yang sia-sia. Lebih mengecewakan, pihak JAN memang tidak mempunyai apa-apa peruntukan undang-undang untuk bertindak terhadap pihak yang ditegur atau didapati menyalahi prosedur diaudit.

Tiada ulasan: