HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Januari 2012

Insiden UPSI: Hishammuddin, KPN bertanggungjawab

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan terhadap mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli dan bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samudin berkata, PKPIM difahamkan mereka yang terlibat dalam dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang dan beberapa mahasiswa cedera parah dan luka di badan sementara beberapa pimpinan mahasiswa ditahan oleh pihak polis awal pagi tadi.

“PKPIM berpandangan tindakan polis termasuk FRU yang meleraikan mahasiswa secara ganas pada awal pagi ambang tahun baru akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan seumpama ini tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai dengan tuntutan generasi mahasiswa hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Seharusnya, kata beliau sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, ujarnya PKPIM melihat isu itu juga berkait langsung dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman.

PKPIM juga, katanya memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan yang telah terbukti di dalam kejadian yang menimpa mahasiswa di UPSI awal pagi tadi.

“PKPIM merasakan bahawa bahawa tragedi mahasiswa di ambang 2012 ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan membuka ruang lebih banyak ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan aman pada masa akan datang,” katanya lagi.

Justeru, PKPIM mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dengan insiden ini dengan tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Tiada ulasan: