HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Januari 2012

Kill The Bill mahu teruskan perhimpunan aman

Sce Hwai Phang berkata orang ramai perlu sedar tentang hak mereka sebagai rakyat dalam negara demokrasi.



KUALA LUMPUR: NGO Kill The Bill tekad teruskan perhimpunan aman pada setiap Sabtu bagi membangkitkan kesedaran orang ramai bagi membantah Akta Perhimpunan 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat November lalu.

Wakilnya Sce Hwai Phang berkata orang ramai perlu sedar tentang hak mereka sebagai rakyat dalam negara demokrasi bagi menyuarakan pandangan tanpa sebarang sekatan.

“Kita akan teruskan setiap minggu di sekitar KLCC bagi mendidik orang ramai yang tak semestinya perhimpunan aman ini bersifat agresif dan kerajaan tidak boleh tutup mulut rakyat jika ada sebarang salah laku terjadi seperti penyelewengan, rasuah dan sebagainya,” katanya kepada FMT di sini hari ini.

Dalam perhimpunan aman keenam ini, kira-kira 50 penyokong Kill The Bill turut serta dengan memakai baju kuning.

Disertai kanak-kanak sehingga warga emas tanpa kehadiran wakil ahli politik, mereka mula berkumpul daripada Stesen KL Sentral menaiki transit aliran ringan (LRT) dan menuju KLCC sambil memegang belon kuning, selain mengedarkan belon dan gula-gula kuning kepada orang ramai.

‘Ribuan penyokong’

Phang berkata, perhimpunan ini akan berterusan dan Sabtu depan pihaknya akan mengadakan sesi bersama beberapa kartunis termasuk Zunar untuk melukis atas payung kuning dan mengedarkannya kepada orang ramai ditempat yang sama

Katanya, usaha ini tidak akan berhenti dengan sebarang bentuk tekanan kerana pihaknya turut mengadakan protes melalui online selain dalam laman sosial Facebook dan Twitter.

“Setakat ini di Facebook sudah mencapai ribuan penyokong dan kita mengharapkan sokongan yang berterusan untuk turun setiap Sabtu dengan memakain pakaian kuning,” katanya.

Tiada ulasan: