HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Januari 2012

Portfolio agama milik PAS sudah terlepas

"Rombakan kecil itu menggambarkan Adun PAS dilihat tidak layak dan tidak berkemampuan untuk memikul portfolio penting yang saya pikul sebelum ini," kata Dato' Dr Hasan Ali.



PETALING JAYA: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali menegaskan rombakan kecil Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini memberi satu tamparan hebat kepada imej dan kedudukan PAS di dalam kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.

“Rombakan tersebut menggambarkan yang Ahli Dewan Negeri (Adun) PAS yang ada dilihat tidak layak dan tidak berkemampuan untuk memikul portfolio penting yang telah saya pikul sebelum ini.

“Lebih menyedihkan apabila portfolio agama yang selama ini menjadi kebanggaan PAS sebagai sebuah parti Islam telah terlepas ke tangan parti komponen yang lain,” kata beliau yang juga Adun Gombak Setia dalam satu kenyataan media.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan rombakan kecil dalam portfolio Exco sejurus selepas Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam Rabu lalu.

Ujar beliau, “saya berpandangan ianya agak ganjil dan pelik kerana Dr Yunus hanya diberikan portfolio Adat-adat Melayu, Belia dan Sukan manakala portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang saya sandang sebelum ini telah di serahkan kepada Menteri Besar.

“Saya khuatir apabila memikirkan sebuah hadis Nabi yang menggambarkan saat kehancuran akan tiba apabila sesuatu jawatan diserah kepada bukan ahlinya akan menjadi kenyataan.

“Saya masih ingat pesanan dan amanat Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sewaktu penubuhan kerajaan Negeri Pakatan di Selangor pada tahun 2008,” jelasnya.

Kata Dr Hasan, beliau (Hadi Awang) telah meminta saya dan kepimpinan PAS Selangor pada waktu itu memastikan portfolio agama di pegang oleh PAS dan PAS mesti mempertahankannya.

“Sayangnya dengan rombakan yang terbaru ini, maruah PAS sebagai sebuah parti Islam telah di pijak. Lebih menyedihkan apabila kepimpinan PAS Selangor sekarang ini dilihat redha dengan rombakan tersebut malah menyanjung tinggi keputusan tersebut tanpa sebarang bantahan.

“Sekali lagi masyarakat melihat PAS terpaksa menjadi pak turut kepada parti komponen Pakatan yang lain,” tegas beliau.

Dr Yunus calon terbaik

Mengenai pelantikan Dr Yunus sebagai Exco, Dr Hasan menyifatkan Dr Yunus sebagai calon yang terbaik di kalangan Adun PAS di Selangor.

“Sifatnya yang kurang bercakap tapi kuat bekerja ditambah dengan akhlak yang terpuji menjadikan beliau calon yang paling layak untuk mengisi kekosongan yang ada.

“Tetapi yang lebih penting dari itu, Dr Yunus adalah seorang pimpinan PAS yang komited dengan asas-asas perjuangan PAS yang sebenarnya dan tidak mudah diresapi oleh pengaruh golongan parasit di dalam parti.

“Syabas dan tahniah kepada baginda Sultan Selangor dan Menteri Besar di atas pilihan yang tepat walaupun PAS Selangor diberitakan hanya menghantar satu nama untuk diberi pertimbangan,” kata Dr Hasan.

Tiada ulasan: