HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Januari 2012

Satu hari satu nyawa, korban jalan raya

Jumlah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat terutama pada musim perayaan.



SAREKEI: Jalan raya di Sarawak mencatatkan rekod purata sekurang-kurangnya satu nyawa terkorban dan seorang cedera parah dalam sehari akibat kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sarawak, Rano Alwino Akat berkata, jumlah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat terutama pada musim perayaan.

Rano yang melancar Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Peringkat Bahagian Betong di sini hari ini berkata, jumlah korban di jalan raya di Sarawak agak membimbangkan dan pengguna jalan raya perlu mengambil iktibar setiap kejadian dan mengamal sikap pemanduan berhemah di jalan raya.

“Semakin ramai yang terkorban maka akan wujud lebih ramai golongan anak-anak yatim piatu, ibu tunggal dan golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini,” katanya.

Jelasnya, keadaan ini akan menimbulkan banyak masalah di samping peningkatan masalah sosial.

Katanya, mematuhi segala undang-undang di jalan raya bukan sekadar takut saman namun apa yang paling utama adalah soal keselamatan.

“Pelbagai cara dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyedarkan masyarakat berhubung keselamatan di jalan raya. Sebaran maklumat melalui media masa elektronik, media cetak dan sebagainya diperhebatkan dengan tujuan memberi peringatan dan kesedaran kepada masyarakat agar berwaspada di jalan raya,” ujarnya.

Begitupun ujarnya, masih terdapat ramai pengguna jalan raya yang memandang remeh isu keselamatan semasa berada di jalan raya.

“Kesedaran pengguna hanya akan timbul bila ditimpa musibah. Jumlah pengguna jalan raya akan bertambah empat kali ganda menjelang sambutan setiap perayaan,” katanya.

Sehubungan itu, Rano mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika musim perayaan terutama pada sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Kempen keselamatan itu dilancar di Simpang Empat Nyabor-Kabong turut dihadiri Pegawai Penguasa Pejabat Daerah Kecil Kabong, Nazari Bujang, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tiada ulasan: