SHAH ALAM : Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong mengalukan cadangan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria untuk mewujudkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes alam sekitar.
Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan berkata, undang-undang ketika ini gagal menangani isu alam sekitar.
“Saya sedar kelemahan proses yang kini diamalkan kerana pihak yang melanggar undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) ketika ini gagal dikenakan tindakan dalam masa terdekat kerana terpaksa menunggu proses mahkamah yang panjang.
“Ini kerana sambil menunggu, pihak tidak bertanggungjawab itu dibiarkan terus menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang alam sekitar,” katanya dalam kenyataan media.
Berharap cadangan itu dilaksanakan segera, beliau juga menyeru pesalah alam sekitar dikenakan denda lebih berat sesuai dengan kesalahn mereka.
“Jika penubuhan mahkamah khas alam sekitar ini dapat memberi keutamaan sepatutnya kepada kes alam sekitar dan meningkatkan kecekapan proses kehakiman, saya yakin penyalahan undang-undang alam sekitar akan dikurangkan.
“Pada masa sama, saya menyeru denda lebih berat dikenakan ke atas pesalah kes alam sekitar dan berharap cadangan ini dilaksanakan segera oleh Peguam Negara,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Ariffin dalam ucapan pembukaan di Persidangan Majlis Hakim-Hakim 2012 mencadangkan agar mahkamah khas diwujudkan bagi menangani isu alam sekitar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan