HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Januari 2012

‘Tiada iltizam politik, zalimi mahasiswa’

Transformasi yang diumumkan perdana menteri itu tidak lebih dari kosmetik politik bertujuan mengaburi rakyat dari kenyataan yang sebenar, kata Azmin.



PETALING JAYA: “Adalah sesuatu peristiwa yang amat malang ketika memasuki tahun 2012 kita dikejutkan dengan berita bahawa seramai 17 mahasiswa ditahan dan dua mahasiswa telah dipukul pihak polis di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim,” kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau dalam satu kenyataan media hari ini, salah seorang mahasiswa tersebut, Safwan Anang masih terlantar di Hospital Slim River akibat kekasaran melampau pihak berkuasa.

“Kita difahamkan mahasiswa terbabit sekadar menyatakan bantahan mereka terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut agar kerajaan memansuhkannya dengan kadar segera.

“Kejadian awal pagi tadi menjadi saksi bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada iltizam politik untuk melaksanakan transformasi yang diwar-warkannya,” kata Azmin yang juga ahli parlimen Gombak.

Tegas beliau, transformasi yang diumumkan perdana menteri itu tidak lebih dari kosmetik politik bertujuan mengaburi rakyat dari kenyataan yang sebenar, bahawa pentadbiran beliau sebenarnya lemah serta tidak berdaya mengotakan janji yang dibuat.

Menurutnya, hasrat untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan memastikan kebebasan kepada mahasiswa kini dilihat tidak lebih sekadar omongan kosong.

“Kita menuntut agar siasatan berkaitan kekerasan terhadap mahasiswa ini dijalankan segera. Mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kekerasan terhadap mahasiswa ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

“Manakala itu, kita juga menuntut agar pihak polis dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) memohon maaf kerana kekerasan keterlaluan yang dilakukan.

“Kita juga berhasrat mengulangi pendirian PKR dan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan AUKU serta iltizam demi memastikan kebebasan akademik terlaksana,” ujar beliau.

Tiada ulasan: