HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Februari 2012

Penjawat awam dakwa polis enggan terima aduan

MALAYSIA KINI
Seorang penjawat awam mendakwa seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor enggan menerima laporan yang hendak dibuatnya berhubung satu cubaan untuk melakukan penipuan oleh sindiket.

Mangsa berusia 28 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata beliau ingin membuat laporan polis pada kira-kira pukul 5.30 petang semalam, namun anggota berkenaan enggan menerima laporannya dengan alasan mangsa belum mengalami kerugian.

"Selain itu beliau juga memberi alasan bahawa ramai lagi yang telah ditipu berhubung kes berkenaan dan itu adalah perkara biasa," katanya kepada Bernama ketika ditemui.

Semalam mangsa dihubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah seorang Inspektor dari Bukit Aman yang bernama Kamarul Hisham yang mengatakan mangsa adalah salah seorang anggota sindiket yang ditumpaskan tahun lepas.

"'Inspektor' tersebut berkata begitu berikutan rampasan 200 buah buku bank pada sindiket tersebut dan salah satunya dikatakan kepunyaan saya.

"Selepas itu 'inspektor' tersebut meminta nombor akaun bank saya dengan alasan untuk membersihkan nama saya dari disenarai hitamkan dan (saya) terus (ke IPD Shah Alam untuk) membuat laporan polis kerana curiga dengan dakwaan 'inspektor' tersebut," kata mangsa.

Mangsa berkata beliau ingin membuat laporan polis kerana tidak mahu ramai lagi yang menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut sehingga mengalami kerugian.

"Walaupun saya tidak mengalami kerugian, namun tidak mustahil wang di dalam akaun saya boleh lesap kerana saya telah memberi individu berkenaan nombor akaun bank saya," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob ketika dihubungi berkata perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan anggota itu sepatutnya mengambil apa sahaja aduan yang ingin dibuat oleh masyarakat.

"Walaupun mangsa belum mengalami kerugian, anggota itu sepatutnya dengar apa sahaja yang pengadu nak cerita," katanya. Bernama

Tiada ulasan: