HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2012

Cukai Naik Jika Pakatan Tawan Putrajaya

Post Pic

AMTARA POS.COM


SHAH ALAM : Rakyat perlu bersedia untuk dikenakan cukai yang lebih tinggi jika Pakatan Rakyat memerintah negara, kata penganalisis politik Profesor Datuk Zainal Kling.

Beliau berkata sesebuah kerajaan perlu mengenakan kadar cukai yang tinggi kepada rakyatnya jika mahu menyediakan pendidikan secara percuma sehingga ke peringkat universiti.

Zainal berkata demikian mengulas janji politik yang ditabur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan tersebut.

"Boleh tu memang boleh tapi kenakan cukai yang tinggi dikalangan rakyat...Dia (Anwar) perlu memberitahu macam mana dia nak melaksanakannya. Jangan hanya sebut hak mansuhkan PTPTN sahaja tapi bagaimana dengan kos- kos lain ?" katanya.

Anwar, dalam ucapannya sebelum ini dilihat cuba meletakkan bebanan itu di atas bahu Petronas.

Anwar berkata ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu adalah RM30 bilion dan menyumbang kepada pemberian biasiswa dan dermasiswa.

Kini, dakwanya, keuntungan badan tersebut mencecah sehingga RM90 bilion namun ia tidak menyumbang kepada tajaan pendidikan melibatkan semua pelajar di Malaysia.

Zainal yang juga pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberitahu rata- rata negara yang dahulunya memberikan pendidikan percuma seperti New Zealand, kini mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya.

"Mana ada negeri yang bagi percuma sekarang ini. Di seluruh dunia kini mana ada yang bagi percuma. Semuanya dikenakan cukai yang tinggi,"

Sebelum ini Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Shahid Mohd Zaini beranggapan skim pendidikan percuma mampu dilaksanakan dinegara ini.

"Kita sudah buat perangkaan negara, sejumlah RM3 hingga 4 bilion diperlukan setahun untuk menguruskan PTPTN. Manakala bajet negara adalah RM232.8 bilion setahun. Jadi, apa salahnya jika daripada jumlah itu diperuntukkan kepada usaha ini ?

"Ia akan boleh dilaksanakan jika pengurusan kewangan dibuat secara telus dan berhemah, sifar rasuah, tiada projek gajah putih dan sebagainya," kata Shahid.

Shahid berkata, mahasiswa akan menyokong mana- mana parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang memberi cadangan yang memihak kepada mahasiswa yang sekaligus meningkatkan kualiti sektor pendidikan negara.

"Kami telah membuat ketetapan, kami akan menyokong siapa sahaja yang memberi manfaat kepada mahasiswa, tiada kira Pakatan Rakyat, Barisan Nasional atau NGO," jelas Shahid.

Jika diteliti pelbagai pendekatan telah diambil kerajaan persekutuan untuk mengurangkan beban rakyat antaranya memperuntukkan RM50.2 bilion iaitu 21.6 peratus daripada jumlah belanjawan 2012 sebanyak RM232.8 bilion.

Kerajaan juga pada 2011 memansuhkan yuran sekolah rendah dan menengah diseluruh negara yang sudah tentunya mengurangkan bebanan yang ditanggung ibubapa.

Awal tahun ini, kerajaan turut mengagihkan baucer Buku 1Malaysia yang melibatkan perbelanjaan sejumlah RM 260 juta.

Tiada ulasan: