Harakahdaily, | |
KLANG: Sebuah rumah urut yang menyediakan pintu khas untuk pelanggannya melarikan diri apabila didatangi pihak berkuasa, diserbu oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu operasi bersepadu di sini.
(Pegawai penguatkuasa MPK memecat langsir yang digunakan di sebuah rumah urut)
Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom berkata, premis berkenaan terletak di Taman Bayu Perdana yang beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu itu juga agak tersembunyi dan kelihatan cukup eksklusif untuk para pengunjung.
Pelbagai barangan dirampas antaranya bantal, tilam dan kain langsir di situ.
“Kita akan melipatgandakan operasi seperti ini bagi memastikan tiada pihak yang menjalankan perniagaan secara haram terutama melibatkan rumah urut.
“Pemantauan dari masa ke semasa dan risikan serta maklumat awam telah banyak membantu majlis dalam menangani isu berkaitan rumah urut haram yang beroperasi di kawasan ini,”katanya.
Andry berkata, seramai 19 anggota terlibat dalam operasi itu dan turut disertai Jabatan Pelesenan dan ia tertumpu sekitar Pelabuhan Klang dan Bukit Tinggi serta Bandar Baru Klang.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan rumah urut, pusat siber dan sebarang kegiatan haram melalui talian 1800 88 23826 atau 03-33714404 untuk memudahkan pihaknya menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan ke atas premis yang terlibat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan