HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mac 2012

Debat Anwar-Najib, jangan hampakan rakyat

Harakahdaily,











KUALA LUMPUR: “Sesungguhnya rakyat sedang menanti dengan penuh harapan perdebatan dua pemimpin besar negara ini dan ia bakal menjadi peristiwa besar dalam sejarah negara, justeru, jangan hampakan rakyat sekali lagi,” kata Riduan Mohd Nor.

Sehubungan itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin yang dianjurkan oleh pengasas Wikileaks, Julian Assange.

Ketua Penerangan DPPM itu menganggap majlis perdebatan yang akan dilangsungkan nanti boleh membina kematangan politik rakyat dalam sistem demokrasi di negara ini.

Beliau berkata, perdebatan adalah trend terbaru di negara-negara maju bagi mewujudkan pemikiran yang positif dan membina.

Tambahnya, debat juga adalah ruang buat pemimpin menampilkan visi dan aspirasi mereka dalam memberikan bentuk kebajikan yang terbaik buat rakyat.

Beliau dalam satu kenyataan menambah, rakyat pula dapat mendengar hujah pemimpin secara langsung dan menilai pemimpin terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin negara.

Justeru, ujarnya DPPM mengharapkan Najib akan menerima pelawaan debat itu dengan hati terbuka.

Bagi beliau, soal penganjurannya nanti adalah perkara teknikal dan boleh dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal yang dibentuk bagi melicinkan majlis itu nanti.

“Memandangkan cadangan debat itu diadakan sewaktu iklim politik negara hampir dengan Pilihan raya Umum ke-13, DPPM merasakan amat sesuai perdebatan itu diadakan pada waktu sekarang,” ujarnya.

Riduan berkata, sekiranya Najib jujur dalam pentadbirannya dan ikhlas mahu memberikan khidmat baktinya kepada rakyat, sebaiknya beliau menerima pelawaan debat itu.

Tiada ulasan: