HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mac 2012

Kebajikan Anak Yatim : Kerajaan Selangor Hanya Janji Kosong

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Slogan "Merakyatkan Ekonomi Selangor" dan "Hasil Negeri Untuk Rakyat" yang dilaung-laungkan kerajaan Selangor hanya bersifat indah khabar dari rupa, kata ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim.

Malah janji-janji yang pernah dilafazkan ketika kempen Pilihan Raya Umum 2008 katanya nyata retorik semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Mohd Isa berkata demikian mengulas kenyataan dua anggota Dewan Rakyat yang mempertikaikan kredibiliti pentadbiran kerajaan Selangor yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab mentadbir sebuah rumah anak yatim.

"Mereka (pakatan pembangkang) ini lebih kepada retorik semata-mata, pelaksanaannya tidak ada langsung," katanya kepada AntaraPos.com.

"Saya lihat Kerajaan Negeri ini tiada sikap untuk membantu rumah anak-anak yatim ini, malah bukan sahaja di Kota Raja bahkan di kawasan saya sendiri. Contohnya rumah untuk OKU di kawasan saya sehingga kini tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri bagi membantu membina sebuah rumah untuk kanak-kanak OKU di Serendah, malah saya dimaklumkan mereka telah membatalkan hasrat itu," tambahnya lagi.

Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Selangor yang hanya memperuntukkan RM16 juta bagi program kebajikan pada bajet lalu berbanding Kerajaan Persekutuan yang memberikan RM100 juta untuk negeri ini.

Mohd Isa berkata, jumlah tersebut bukan sahaja tidak memadai malah tidak mampu untuk membantu sekurang-kurangnya dua juta rakyat miskin di negeri ini.
"Di bajet yang lalu Kerajaan Negeri hanya memperuntukan RM16 juta dibandingkan dengan rakyat yang susah di dalam Selangor ini yang hampir 2 juta orang. Apabila dia (kerajaan) menaikkan paras garis kemiskinan kepada RM1,500 bermakna rakyat yang memerlukan bantuan akan bertambah," ujarnya.

Terdahulu, Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) membidas kerajaan Selangor dan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat dakwaan bahawa kerajaan negeri itu mengabaikan kebajikan anak yatim dan fakir miskin dalam soal mengurus serta mentadbir Rumah Anak Yatim Al-Fahmi di Kota Raja, Klang.
Beliau turut mendakwa wujud unsur ketidaktelusan dalam pengurusan 26 unit rumah anak yatim yang terletak di kawasan seluas dua hektar itu setelah pengurusannya
diserahkan kepada kerajaan negeri.
"Pemilik asal rumah anak yatim ini telah berapa kali menulis surat kepada kerajaan negeri memaklumkan mengenai nasib anak yatim di rumah wakaf itu yang tidak terbela sejak diambil alih oleh kerajaan Selangor pada 2007.
"Isu ini telah beberapa kali didedahkan dalam media dan ini mengecewakan masyarakat negara ini terutama pemilik asalnya tetapi masalah masih berlarutan yang akhirnya mendapati struktur rumah itu dibiarkan dimakan anai-anai, manakala bilik airnya jijik dan pelbagai masalah lain menyebabkan anak yatim dan fakir yang tinggal di situ tidak selesa," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu.

Justeru menurut Isa, jelas sekali kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor hanya pandai bermuka-muka dalam soal menjaga kebajikan rakyat walhal ia bukan seperti yang digambarkan.

"Sekarang jelaslah bahawa yang memperjuangkan kebajikan rakyat adalah Barisan Nasional(BN) bukan pembangkang. Lihatlah nasib yang menimpa Rumah Anak Yatim Al-Fahmi di Kota Raja ini, bagaimana mereka sanggup menafikan rumah anak yatim ini. Itulah rupa dan wajah mereka yang sebenar, cakap saja lebih tetapi tiada tindakan dan pelaksanaan ke arah kebajikan yang sebenar," katanya.

Tiada ulasan: