HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Mac 2012

Dun Selangor kecoh gara-gara isu tanah

Adun PKR-Sri Muda Shuhaimi Shafiei menuduh para pemimpin BN Selangor terlibat dalam penjualan tanah.


Sidang Dun Selangor


SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini tengah hari tadi kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) mendesak Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) untuk menarik balik tuduhan yang melibatkan mereka dengan penjualan tanah di kawasan masing-masing.

Shuhaimi menuduh pemimpin BN Selangor termasuklah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar, Adun Seri Serdang Datuk Satim Diman dan Datuk Mohd Shamsudin Liar (Sungai Burong) terlibat dalam penjualan tanah dan mendakwa mempunyai rekod mengenai hal itu.

Perkara itu membangkitkan kemarahan pemimpin BN yang lain sehingga Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) menggesa Timbalan Speaker, Haniza Talha agar menuntut Shuhaimi menarik semula kenyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, timbalan speaker menggunakan peraturan dewan 44 (1) iaitu pengerusi menarik balik atas kelakuan ahli yang degil dalam sesuatu perbahasan, perintah untuk berhenti bercakap dan mengarahkan Mohd Isa untuk duduk.

Keadaan tegang itu berlaku hampir 15 minit ketika Shuhaimi sedang membentangkan cadangan usul titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hasil kutipan pasir

Terdahulu, Shuhaimi dalam ucapannya membuat perbandingan mengenai hasil kutipan pasir oleh kerajaan BN dan Pakatan Rakyat. Shuhaimi menyifatkan pengurusan BN dalam pengeluaran pasir sebelum ini tidak sistematik berbanding Pakatan yang mempunyai Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk menguruskan hal yang sama.

“Saya sarankan wakil BN belajar sebagai ahli lembaga pengarah Kumpulan Semesta dan belajar akaun. Adun Batang Kali, Sri Serdang dan Kuang boleh dipertimbangkan untuk masuk kumpulan Semesta kerana kita telus,” katanya dalam sidang dewan hari ini.

Sementara itu, Mohd Isa dalam sidang media di lobi hari ini turut menyifatkan Shuhaimi sebagai hipokrit dengan menuduh kerajaan BN tidak membela rakyat.

“Kita minta tunjuk fakta sebenar dan mahu speaker tarik balik tuduhan beliau (Shuhaimi). Lihat rupa wakil rakyat…mereka cuba untuk melindungi kelemahan. Mereka tiada idea,” katanya.

Tiada ulasan: