HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mac 2012

Hasan Dedah Video Murtad Dalam Masa Terdekat

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM: Video pemurtadan umat Islam di Selangor sedang dalam proses akhir sebelum didedah dan disebarkan kepada umum, kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Jelasnya video berkenaan yang berdurasi satu jam setengah itu perlu disunting menjadi lebih ringkas bagi memudahkan ia disiarkan kepada umum.
"Video (pemurtadan) itu ada dua, satu video pendek seperti korporat video, satu lagi yang panjang yang mengambil masa satu jam setengah. Kami sedang membuat penyuntingan terakhir untuk meletakkan tajuk dan sebagainya, letakkan grafik untuk menjadikannya lebih menarik, kalau tidak video itu bercakap saja, (bimbang) penonton bosan," katanya kepada media ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Sebelum ini Hasan berjanji untuk mendedahkan bukti video tersebut pertengahan bulan ini.

Difahamkan, rakaman video terbabit memaparkan pengakuan yang dibuat oleh sepasang suami isteri yang pernah menjadi mangsa kegiatan pemurtadan umat Islam di Selangor.

Kandungan video itu juga antara lainnya mendedahkan kegiatan gereja tertentu yang menjalankan usaha memurtadkan umat Islam secara rahsia dan terang-terangan.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, beliau akan memanggil satu sidang media khas untuk menyiarkan video berkenaan sedikit masa lagi.

Hasan yang juga Presiden pertubuhan pro-Melayu JATI turut melahirkan rasa tidak puas hati beliau terhadap jawapan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai gejala murtad di negeri ini.

"Saya tengok jawapan daripada Menteri Besar tadi, jawapan yang tidak menyelesaikan masalah. Terpulang kepada keluarga masing-masing, rakyat untuk menentukan supaya orang Islam tidak terlibat. Terpulang itu nak pulangkan macam-mana?,"soalnya.

Hasan turut menegaskan jika beliau masih menjadi exco kerajaan Selangor yang memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu diperkemas dan diperkasakan bagi memerangi gejala murtad yang semakin membarah.

"Kita ada kuasa di Selangor, kita menentukan arah tuju. Bagi saya setakat yang ada di Jais dalam 80-100 orang penguatkuasa yang ada tidak mencukupi. Pegawai tersebut bukan saja kena ditambah, tetapi kemampuannya, kebolehannya, bilangan ditambah. Kalau boleh di Jais ini satu unit khas diwujudkan khusus untuk menangani masalah ini dan masalah jenayah syariah,"ujar beliau.

Tiada ulasan: