HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Mac 2012

Malaysia, India perlu kerjasama atasi isu tenaga kerja- Anwar

KEADILAN DAILY


MANGALORE 2 Mac: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Malaysia dan India mengambil langkah sesuai bagi menangani masalah tenaga kerja dari India.


Bercakap dalam satu sidang media di sini, Anwar berkata, buruh dari India yang bekerja di Malaysia, dibayar gaji yang lebih rendah dari apa yang dijanjikan.

“Ia bukan soal keabsahan kehadiran mereka di sana (Malaysia), tapi lebih kepada soal layanan kerajaan kepada mereka sebagai manusia yang bermaruah.

“Adalah fakta bahawa kerajaan dan syarikat swasta hanya membayar mereka separuh dari apa yang ditawarkan,” kata Anwar seperti dilapor The Times Of India.

Anwar merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan kira-kira 40,000 pekerja dari India di Malaysia, gagal dikesan selepas tempoh visa lawatan mereka tamat.

Selain mempersoalkan tentang layanan yang diberikan, Anwar juga mengkritik hukuman yang dikenakan terhadap pekerja India yang tergolong dalam keluarga miskin.

“Mereka dibayar dengan gaji yang rendah dan apabila tidak lagi bekerja, pihak berkuasa menangkap dan menghantar mereka pulang.

“Ini adalah satu bentuk perhambaan zaman moden dan ia perlu dihentikan,” tegasnya.

Dalam pada itu, portal Mangalore.com pula melaporkan, Anwar berkata bahawa pertumbuhan ekonomi tanpa mengambilkira soal keadilan dan kebajikan kepada rakyat, tidak akan dapat bertahan.

“Rejim bersifat kuku besi, rasuah yang parah, media dan sistem kehakiman yang tidak bebas adalah masalah utama di Malaysia.

“Malaysia yang pada satu masa adalah negara Asia Tenggara paling maju dalam aspek pertumbuhan, kemasukan pelabur asing dan pasaran modal, kini ketinggalan berbanding Indonesia dan Vietnam,” ujar Anwar.

Anwar berada di India untuk lawatan kerja selama dua hari ke negara itu sebelum dijadual berlepas pulang semula ke Malaysia petang semalam.

Tiada ulasan: