HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Mac 2012

RM100 juta untuk usahawan bumiputera di Koridor Utara

FREE MALAYSIA TODAY

Dana itu diperuntukkan bagi membiayai perniagaan dalam sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik bagi tempoh dua tahun, kata Nor Mohamed Yakcop.


GEORGE TOWN: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan RM100 juta daripada Dana Mudah Cara yang berjumlah RM2 bilion untuk pembangunan usahawan bumiputera di Koridor Utara mendapatkan sumber pembiayaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata dana itu diperuntukkan bagi membiayai perniagaan dalam sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik bagi tempoh dua tahun.

“Daripada RM100 juta itu, sektor pelancongan dan logistik masing-masing akan diperuntukkan RM15 juta, sektor pembuatan pula RM40 juta sementara RM30 juta untuk sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jejak 2012 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Teraju Husni Salleh dan Ketua Eksekutif Koridor Utara Datuk Redza Rafiq.

Nor Mohamed berkata Jejak 2012 merupakan inisiatif Teraju yang menumpukan kepada usahawan bumiputera seluruh negara yang bermula di Koridor Utara.

Jejak 2012 akan mengembangkan sayapnya ke Sarawak pada 6 dan 7 Mac, diikuti oleh Johor, Sabah dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Nor Mohamed juga melancarkan Teraju@Koridor yang merupakan pusat sehenti wilayah Teraju yang pertama di Koridor Utara bertapak di Pulau Pinang dan akan disusuli oleh pusat-pusat di Sarawak, Johor, Sabah dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Beliau berkata kerajaan pusat akan lebih senang mencapai usahawan-usahawan bumiputera dengan wujudnya pusat sehenti Teraju di lima koridor itu di mana setiap pusat akan menawarkan sokongan setempat yang diterajui oleh pegawai-pegawai tempatan yang amat memahami mengenai pasaran utama di kawasan tersebut.

Turut diumumkan pada majlis tersebut ialah usaha bersama Teraju dengan ECE Technologies Sdn Bhd (ECE) untuk menubuhkan program pembangunan vendor.

ECE terlibat dalam perniagaan mereka bentuk, membangun, mengeluarkan, memasang, memasarkan dan mengedarkan alatan audio visual dan perkakas rumah kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dengan pendapatan RM7 juta pada 2010, ECE merupakan syarikat induk dalam program Teras yang berperanan membantu menyediakan lebih banyak peluang untuk syarikat-syarikat kecil bumiputera ke arah menjadi juara korporat bumiputera.

Setakat ini, ECE berjaya melantik empat syarikat bumiputera sebagai sebahagian daripada program pembangunan vendornya. Bernama

Tiada ulasan: