HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mac 2012

Projek LPT 2 lambat, kontraktor kroni untung

Dr.Syed azman Syed Ahmad,


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan di Parlimen pada minggu lepas tentang kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan dalam pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT Fasa Ke 2) yang menelan kos RM3.7 billion.

Ia masih tidak dapat digunakan sepenuhnya akibat berlakunya kelewatan yang ketara dari tarikh jangka siap iaitu pada akhir tahun 2010. Kerugian tersebut berlaku disebabkan terdapat beberapa kontraktor yang sepatutnya disenarai hitamkan dari mendapat tender telah di’anugerahkan’ tender semula oleh kerajaan.

Sebelum itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Sri Ahmad Said semasa mengadakan lawatan kerja ke LPT fasa 2, menyatakan bahawa banyak faktor yang telah menjejaskan pencapaian projek LPT ini termasuk mendapan tanah, di samping kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.

Beliau juga telah mengumumkan bahawa dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya LPT 2 ini telah menarik diri. Alasan yang dikemukanan oleh kontraktor tersebut bagi menarik diri adalah “berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi…Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar."

Kedua-dua kontraktor yang menarik diri adalah GPQ/Bukit Puteri JV yang merupakan syarikat usahasama antara anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan syarikat awam yang telah dianugerahkan pakej 1C dan pakej 11 manakala Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 dan pakej 9B.

Melalui kedua-dua tender anugerah itu, GPQ/Bukit Puteri JV meraih projek bernilai hampir RM150 juta dengan pakej 1C bernilai RM90,000,000.00 dan pakej 11 bernilai RM57,961,710.50. GPQ/ Bukit Puteri JV menarik diri dari membina pakej 1C kerana sehingga April, 2009 syarikat tersebut gagal mencapai sasaran dan hanya melaksanakan 3.7% kerja dari sasaran 15.1% sebagaimana jadual.

Namun menurut Anwar Ibrahim; “kegagalan projek ini ada suatu pakatan kerjasama. Sepatutnya, yang saya tahu ‘financial procedure’ atau prosedur kewangan itu jelas. Mana-mana syarikat yang gagal maka semua anak syarikat itu dikecualikan daripada mendapat tender semula.

"Akan tetapi ini diberikan pengecualian, pakej kelapan, anugerah kepada syarikat Arah Jitu RM80 juta, mansuh November 2009. Kemudian, ditender semula, berikan balik kepada Arah Jitu, harga RM76 juta. Ini kontrak apa sebegini? Ia gagal, kita anugerahkan semula. Jadi, kontraktor yang gagal untuk melaksanakan dua pakej; 8B dan 9B, dipilih semula dengan harga yang jauh lebih tinggi,” ujar beliau.

Anwar turut memberitahu dewan bahawa Kerajaan juga didapati gagal menuntut kembali bayaran yang telah dibayar kepada syarikat-syarikat yang gagal menyiapkan projek yang diberikan kepada mereka.

Menurut beliau; “kontrak 1A, pakej 1A bernilai RM41.86 juta dianugerahkan kepada Ascent Vest Sdn Bhd, dimansuhkan pada April 2010 setelah membayar RM27.2 juta. Ditender semula, dianugerahkan kepada Q-Bena dengan harga RM31.1 juta dengan tambahan dana. Kontraktor pertama patut bayar ganti rugi.

Pakej keempat dianugerahkan kepada Kobena Corporation dengan harga RM61 juta, gagal lagi siap dan diberikan kepada syarikat baru dalam pakej ketiga.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, ketika menjawab soalan di Parlimen pada akhir tahun lepas berkata bahawa pembinaan LPT Fasa 2 yang dimulakan Mac 2006 dan mengalami kelewatan hampir dua tahun daripada jadual asal itu dijangka akan meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan sekitar 15 peratus berbanding kos asal RM3.7 bilion.

Ini bermakna kerajaan terpaksa menanggung bebanan kenaikan kos dengan membelanjakan lebih RM500 juta lagi bagi menyiapkan projek LPT 2 yang tertangguh ini.
Bayangkanlah berapa kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri dengan kelewatan yang berlanjutan dari tahun 2012 kepada tahun 2014?

Persoalan besar yang timbul adalah kenapakah projek yang menelan belanja lebih RM 3 billion ini amat jauh tersasar dari tarikh jangka siap iaitu pada tahun 2010 lagi.

Begitu juga dengan tanggungan kos yang terpaksa pikul akibat dari kelewatan siap membina LPT 2 ini. Pihak manakah pula yang akan menanggung semua kos tambahan akibat kelewatan yang amat ketara ini?

Ya, inilah realiti di negeri penyu bertelur ini. Rakyat akan terus terpaksa menanggung bebanan kemiskinan dan kesempitan hidup yang amat memeritkan.

Kerajaan negeri pula terus berbelanja mewah untuk kroni dengan pelbagai projek Mega yang berhadapan dengan pelbagai skandal, salah-urus dan pembaziran yang berterusan. Kontraktor kroni akan terus mengaut laba keuntungan dari titik peluh rakyat yang miskin. Malang, Oh sungguh malang nasib rakyat Gganu kite ini.

Penulis adalah Adun Batu Burok, Terengganu dan Penolong Setiausaha Agong Pas Pusat. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk

Tiada ulasan: