HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mac 2012

Tiada sebab tidak sokong Pakatan Rakyat

Nazri Abdullah,


KUALA SELANGOR: Presiden PAS Datuk Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tiada sebab untuk rakyat di negara ini untuk tidak memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ini kerana katanya, rakyat boleh melihat sendiri kemampuan Pakatan Rakyat mentadbir beberapa negeri dengan lebih baik berbanding BN.

Ianya termasuk rekod pentadbiran di lima buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan pernah di Perak yang banyak melaksanakan program-prograk kebajikan untuk rakyat.

Selain itu rekod juga membuktikan tiada seorangpun pemimpin Pakatan Rakyat didakwa atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Sepatutnya rakyat peka dan melihat sekurang-kurangnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat menegakkan negeri secara bersih.

"Tiada sesiapapun terlibat dengan rasuah dan salah laku, kerana semua yang rasuah dan salah laku sudah masuk BN, tinggal yang baik-baik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Rapat Rakyat sempena program Karnival Terima Kasih Rakyat di Stadium Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Menurut beliau lagi, pendekatan politik Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP meletakkan semangat persaudaraan yang tinggi antara kaum dan agama dan ia sangat berbeza dengan BN.

Komponen BN khususnya Umno, MCA dan MIC pula katanya masih meneruskan amalan penjajah dengan menanam sikap perkauman dikalangan kaum masing-masing sehingga mewujudkan permusuhan dan jurang antara kaum.

"Kesilapan besar BN adalah parti-partinya menganut kebangsaan masing-masing. Tak salah cintakan bangsa, tetapi jangan dijadikan akidah sehingga mencetuskan permusuhan antara satu sama lain, saling tidak percaya antara satu sama lain.

"Orang Cina asal dari tanah besar yang bertamadun, orang India dari negara besar yang bertamadun, orang Melayu yang menganut Islam yang pernah membina tamadun Islam, jika pelbagai kaum ini diadunkan semangat tamadunnya, kita boleh membina satu negara yang hebat, dan inilah pendekatan Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Sehubungan itu kata Abdul Hadi, rakyat perlu bersama Pakatan Rakyat untuk terus melakukan perubahan ke arah lebih baik untuk masa hadapan negara dan rakyat.

"2008 kita telah berjaya menafikan majoriti 2/3 BN.

"Kita perlu dapat sokongan rakyat lebih besar untuk berkuasa di pusat untuk kuasai Putrajaya," tambahnya.

Dianggarkan lebih 30,000 rakyat memenuhi padang stadium itu malam tadi yang hadir bagi mendengar ceramah pimpinan Pakatan Rakyat.

Selain Abdul Hadi, turut berucap adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yang tidak berapa sihat bagaimanapun malam tadi terpaksa mengambil giliran paling awal berucap sebelum yang lain.

Sebelum mengakhiri ceramah, beliau sempat menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini berkata tidak mahu mengumumkan tarikh pilihan raya walaupun tarikhnya sudah ada.

Katanya, kita sekarang sedang berhadapan dengan demokrasi orang gila iaitu gila kuasa dan takut untuk umum tarikh pilihan raya.

"Saya tak sihat dan nak undur diri dahulu sebab baru balik dari luar negara terus diatur pusing satu Malaysia. Semalam di Kedah sebelum tu ke negeri lain dan hari ni Selangor.

"Bila habis pusing seluruh negara, saya akan umum tarikh pilihan raya," katanya menyindir dan disambut laungan takbir hadirin.

Tiada ulasan: