HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mac 2012

Projek solar Batu Kawan lulus tanpa lesen?

MALAYSIA KINI
Parti Cinta Malaysia (PCM) mempersoalkan bagaimana projek loji pengeluaran panel solar yang akan dibina di batu kawan diluluskan oleh kerajaan negeri sedangkan belum mendapat lesen operasi atau
kebenaran daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Naib Presiden PCM Huan Cheng Guan berkata lesen operasi AELB atau kelulusan merupakan prasyarat wajib bagi mana-mana kilang atau kilang yang menghasilkan bahan-bahan radioaktif sebagai produk atau sisa.

Katanya sebuah portal berita semalam memetik Ketua Pengarah AELB Raja Abdul Aziz Raja Adnan sebagai berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung pembinaan kilang berkenaan.

NONE"Apa yang PCM persoalkan, bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang boleh meluluskan pembinaannya sedangkan lesen atau kebenaran daripada AELB belum pun dipohon?" katanya kepada pemberita di Butterworth, hari ini.

Portal berita berkenaan turut melaporkan Raja Abdul Aziz berkata projek itu akan dinilai dan diluluskan oleh pihaknya walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi kelulusan.

Katanya jika kilang itu tidak mendapat kelulusan dari AELB, mereka tidak boleh beroperasi kerana kilang panel solar akan menghasilkan bahan radioaktif dan pihaknya perlu menilai tahap radioaktif yang dihasilkan.

Huan berkata oleh itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu menghentikan projek loji pengeluaran panel solar itu kerana belum mendapat lesen kebenaran dan ia juga mengancam keselamatan penduduk di situ.

Sementara itu, Huan yang juga bekas Anggota Parlimen Batu Kawan berkata belum pun selesai isu pembinaan kilang solar di Batu Kawan itu, pihaknya mendapat maklumat sebuah lagi kilang solar akan beroperasi di negeri ini hujung tahun ini.

Katanya sesi temuduga untuk mengambil pekerja bagi kilang berkenaan telah dijalankan semalam dan hari ini di sebuah hotel di Pulau Pinang.

"Menurut maklumat yang kita dapat, kilang itu akan beroperasi di kawasan Seberang Perai, di sini. Jadi kita mahu kerajaan negeri tampil memberi penjelasan berhubung operasi kedua-dua kilang solar berkenaan agar rakyat negeri ini tahu apa yang sedang mereka (kerajaan negeri) laksanakan.

"PCM beri masa seminggu untuk Lim tampil memperjelaskan perkara ini dan jika beliau gagal, PCM akan pergi ke pejabatnya untuk menyerahkan memorandum berhubung perkara berkenaan," katanya. Bernama

Tiada ulasan: