Ahli
parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar beranggapan ada sesuatu yang
cuba disembunyikan kerajaan berhubung isu pemindahan wang ke akaun Ketua
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.
Ia berikutan persoalan yang dibangkitkan beliau masih tidak dijawab
secara terperinci, biarpun berulang-kali didesak berbuat demikian.
"Semalam, saya membangkitkan isu ini dengan menjelaskan butirannya, dan
hari ini jawapan tersebut sudah ada di meja saya.
"Namun, masih tiada jawapan yang jelas mengenainya," kata beliau pada
sidang media, di Dewan Rakyat, petang tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, desak
Mahfuz perlu tampil memberikan penjelasan berkenaan pembayaran sejumlah
wang tersebut secara terperinci.
"Saya
minta menteri tampil menjelaskan apakah jenis pembayaran tersebut?
Adakah ia merupakan emolumen, elaun atau insentif? Penyimpan Tabung
Haji ingin tahu, jadi saya minta menteri tampil menjelaskannya," tegas
beliau lagi.
Sebelum ini, pada sesi parlimen lepas, Naib Presiden PAS itu telah
membangkitkan isu tersebut ketika perbahasan belanjawan 2012.
Beliau sekali lagi membangkitkan dalam soalannya pada sidang parlimen
sesi ini, bagaimanapun tidak berpuashati dengan jawapan Jamil Khir.
Susulan itu, Mahfuz mengulangi lagi tuntutan beliau terhadap Jamil Khir
untuk menjelaskan secara terperinci butiran pembayaran itu.
Tabung Haji dikatakan memindahkan sejumlah RM308 700 ke akaun Ismee,
yang dikatakan dibuat mengikut undang-undang serta termaktub dalam
syarat-syarat dan terma-terma yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan
Ismee.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan