HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Jun 2012

Rafizi: Bank Negara patut siasat Pengerusi NFC

Oleh Mohd Martin Kahar


PETALING JAYA : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mempertikai mengapa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menyiasat Pengarah National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Dr Muhamad Salleh Ismail.



Menurut Rafizi, Bank Negara sepatutnya mengambil tindakan terhadap Salleh dan keluarga yang secara terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah kepada syarikat mereka di Singapura dan Kazakhstan.

Beliau berkata, tindakan itu memberi gambaran seolah-olah kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  tidak mengalu-alukan pendedahan penyelewengan dan rasuah oleh rakyat.

“Kenyataan SPRM mengatakan orang lain tidak boleh membelakangi SPRM jelas memusuhi rakyat yang mengambil tindakan berani mendedahkan perlakuan rasuah.

“Fenomena ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat dan menghalang mereka tampil membuat pendedahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.

Rafizi menerima notis perintah soal siasat di bawah Akta Bank Negara dan Institusi Kewangan (Bafia) berkenaan tindakannya mendedahkan penyelewengan NFC.

Beliau memberi keterangan pada petang ini diiringi peguamnya, N Surendran.

Rafizi turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah.

Katanya, sehingga kini SPRM tidak mengambil sebarang tindakan ke atas orang yang menganggotai jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak RM250 juta kepada keluarga bekas Menteri Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Jelas NFC yang dikuasai oleh keluarga beliau langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikan projek tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: