Kamera AES ini yang dipasang berhampiran satu simpang tiga di Jalan Ipoh, yang menjadi kawasan popular kemalangan melibatkan motosikal dan kesalahan melanggar lampu isyarat, diibaratkan satu anugerah kepada pengguna setia jalan itu terutama bagi penunggang motosikal.
Tinjauan Sinar Harian Online selama hampir tiga jam di kawasan itu mendapati beberapa kali pancaran laser dari kamera AES berkelip kerana merakamkan kesalahan pemandu yang melanggar lampu isyarat.
Bagi Shawal Kamaruddin, yang bekerja sebagai penghantar surat dan dokumen, kawasan simpang tiga Jalan Ipoh ini memang menjadi ketakutan kepada penunggang motosikal sepertinya ekoran sikap tidak bertimbang rasa pemandu-pemandu kereta dan lori yang melalui jalan itu.
“Saya hari-hari lalu sini, pada pendapat saya, yang selalu langgar lampu isyarat dekat sini, orang yang bawa kereta dan lori.
"Macam kami yang naik motor, bila dekat lampu isyarat, kami nak jalan, tetiba lori jalan dulu. Lori langgar, itu yang membahayakan penunggang motor macam kami.
“Saya yang bawa motor hari-hari lalu kawasan ni, memang banyak ragam pemandu-pemandu dekat sini," katanya.
Anak muda berusia 22 tahun ini menambah, keadaan jalan yang sesak di siang hari, ditambah pula dengan sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab, mengakibatkan kemalangan bukan lagi perkara baru di persimpangan Jalan Ipoh ini.
"Kalau siang ni memang biasa, penunggang motosikal selalunya jadi mangsa. Kadang-kadang pemandu ni mereka bawa kereta, nak cepat, kadang-kadang telefon dekat tangan,pandu tengok depan sahaja, tak tengok kiri kanan, bila kita hendak potong, tiba-tiba kereta nak ke tepi pula, akhirnya kita juga yang kena. Kita yang jatuh, orang bawa kereta tak ada apa-apa. Biasanya memang teruklah, susah!
"Kalau tak ada kamera macam ini, pemandu kenderaan memang suka-suka langgar lampu isyarat. Tak fikir orang lain, bila kena saman nanti baru tahulah akibatnya," katanya lagi.
Kamera AES yang dipasang di Jalan Ipoh ini salah satu daripada 12 kamera lain yang ditempatkan berhampiran lampu isyarat disekitar ibu kota.
Ia terletak lebih kurang 50 meter dari lampu isyarat simpang tiga berkenaan. Papan tanda amaran zon operasi kamera turut dipasang sebagai amaran kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan ini.
Menurut seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Chandra berkata, pemasangan kamera AES yang beroperasi 24 jam tanpa henti bagi merekodkan data kesalahan trafik banyak membantu mengurangkan kemalangan yang sering berlaku di kawasan terbabit.
Katanya, dengan adanya kamera AES di situ menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka selain tidak melanggar lampu merah.
"Mengenai (AES) yang dipasang dekat Sentul itu, saya rasa memang logik sebabnya ialah adalah jalan terus menghala ke Jalan Ipoh. Dekat situ ada simpang tiga yang memberi laluan untuk belok ke kanan. Tapi ada kenderaan yang datang dari simpang itu keluar ke Jalan Ipoh. Ada juga yang melintas jalan kaki, jadi ada (AES) memang bagus.
“Sekiranya kamera itu tidak ada, kenderaan yang datang dari Chow Kit menghala ke Jinjang melalui Jalan Ipoh, memang mereka bawa laju. Apabila laju, saya pernah nampak kenderaan langgar pejalan kaki dan sebagainya," ujar beliau.
Bagaimanapun, Chandra turut melahirkan kebimbangannya mengenai kadar saman yang dikenakan ke atas pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik sekiranya pihak berkuasa tidak boleh bertolak ansur dengan jumlah denda yang dikenakan.
"Memanglah kos (saman) yang dikenakan pada saya sangat tinggi. Dulu boleh juga buat rayuan, tapi saya dengar sekarang tidak boleh buat rayuan. Saya belum pernah kena, tapi mereka yang sudah kena, kata kena bayar sehingga RM500, dan RM300, tidak boleh buat rayuan dan sebagainya. Jadi itu memang tinggi lah.
"Macam saya yang bawa teksi ini, nak cari makan, cari rezeki ni susah. Dan bila ada saman yang macam itu, memang susah hendak bayarlah," luah Chandra.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna jalan raya yang kerap melalui Jalan Ipoh ini, Shabarudin Zakaria menyokong seratus peratus tindakan pihak berkuasa meletakkan kamera AES di kawasan itu.
Selain dapat mengurangkan kadar kecelakaan jalan raya, ia sekali gus mendidik pengguna jalan raya untuk lebih berhemah ketika memandu.
"Pada saya memang eloklah kerajaan pasang kamera AES ini sebagai satu pengajaran kepada rakyat semua terutama kepada pemandu yang bawa kenderaaan dengan laju. Saya rasa kalau tidak buat macam ini, keadaan di jalan raya akan menjadi lebih teruk lagi, ini membabitkan nyawa sebab di kawasan ini memang kenderaan laju.
"Ia memang mendisiplinkan pengguna jalan raya. Buat masa sekarang, kalau kita lihat kemalangan banyak membabitkan kelajuan dan cuai. Dengan adanya AES ini, memang elok sangat, saya memang bersetuju," katanya kepada Sinar Harian Online.
Sementara itu, bagi seorang pekerja wanita yang kedainya terletak bertentangan dengan tempat kamera AES itu dipasang,
Veshnavi Shedovanavan berkata, dia menyedari banyak perubahan sikap di kalangan pemandu kenderaan yang melalui kawasan itu jika dibandingkan sebelum ini.
“Sebelum ini, jalan ini kereta yang lalu di jalan ini sangat laju, tetapi selepas pasang kamera, memang banyak kesan. Kereta perlahan dan tak banyak kemalangan," katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja sektor awam, Dhasan Sivananda pula berkata, kebaikan pemasangan kamera AES ini ialah mendidik pengguna supaya lebih bertimbang rasa, bersabar di atas jalan raya dan menghormati pemandu lain.
Dia yang sering berkunjung ke kedai di kawasan Jalan Ipoh ini mendapati kebanyakan pengguna jalan raya di situ kerap melanggar lampu merah dan membahayakan pejalan kaki yang melintas di kawasan itu.
“Bagi saya pasang kamera ini ada juga kebaikan, orang lebih berhati-hati, mereka tidaklah melanggar lampu isyarat apabila merah. (Sebelum ini) apabila lampu merah, ada juga orang yang jalan," katanya.
Namun katanya, pihak berkuasa perlu memilih kawasan yang sesuai untuk diletakkan kamera tersebut supaya pengguna tidak menjadi mangsa keadaan.
“Keburukannya, ini adalah jalan yang sesak. Ramai yang lalu lalang, mereka kurang pasti, ada kamera dipasang di sini. Rakyat kita sekarang menderita sebab pendapatan.
Kalau sekali kena saman, mereka kena bayar RM300. Kalau orang biasa kena saman RM300, dia mampu ke bayar? Padahal sekarang banyak harga barang yang sudah naik. Mereka tidak dapat menampung sara hidup harian," jelas lelaki berusia 59 tahun ini.
Abdul Aziz Sulaiman yang datang dari Kelantan berkata, walaupun tidak begitu memahami fungsi AES ini, pihak berkuasa katanya wajar menimbang dan memperhalusi lokasi yang benar-benar sesuai supaya tidak menyusahkan pengguna jalan raya gara-gara terpaksa membayar saman.
“Bagi saya, saya tidak setujulah sebab kadang-kadang kita hendak cepat pergi ke tempat kerja, kita ada masalah yang membuatkan kita terpaksa untuk pandu laju. Jadi bila kita terpaksa pandu laju, selepas itu AES tangkap kita, bermasalahlah kita.
"Kalau letak di lebuh raya, itu tidak mengapa sebab kalau kita pandu sangat merbahaya, tapi kalau letak di kawasan hospital ke, sekolah ke, tak sesuailah saya rasa,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha sebelum ini berkata, senarai lokasi pemasangan AES yang tersebar luas di Internet bukanlah data rasmi sebaliknya masih di peringkat cadangan.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan keputusan yang belum dimuktamadkan kementerian itu kerana masih dalam perbincangan dengan pihak polis.
Menurut Cho Ha, pemasangan AES bukan bertujuan untuk menghukum rakyat atau sengaja mengenakan denda tetapi lebih kepada usaha mendisiplinkan pengguna jalan raya.
Bahkan teknologi ini katanya diyakini mampu mengurangkan kadar kecelakaan jalan raya di negara ini yang mencatatkan angka
kematian menggerunkan saban tahun.
Kamera AES ini mirip kepada kamera perakam saman lalu lintas biasa, namun mempunyai sistem lebih maju dengan fungsi perakam kelajuan melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan.
Bahkan kamera ini juga mempunyai sistem kedap udara bagi membolehkan ia menghasilkan gambar yang lebih jelas dan boleh digunakan di mahkamah.
Berfungsi 24 jam tanpa henti, kamera ini lebih pantas merekodkan data kesalahan trafik dan menyalurkannya terus ke pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk saman serta-merta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan