HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Oktober 2012

Donald Lim enggan ulas hudud atas alasan isu sensitif


KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim hari ini mengambil pendirian tidak akan mengulas berkenaan isu hudud kerana ia merupakan isu besar dan sensitif bagi majoriti rakyat negara ini yang beragama Islam dan menyambut perayaan Aidiladha hari ini.

Pengerusi MCA Selangor itu juga menjelaskan, beliau mengambil pendirian tersebut atas alasan tidak mahu “bergaduh” dan isu undang-undang Islam yang ditentang keras oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) itu.

“Hudud ini isu besar, saya sebagai pemimpin MCA tidak akan bincang isu ini.

“Ia sensitif ... saya tidak mahu bergaduh, dan kita perlu menguruskannya dengan berhati-hati,” katanya kepada pemberita di sini.

Dr Chua merupakan antara pemimpin MCA yang lantang membantah cadangan PAS untuk melaksanakan hudud di negara ini, dan mendakwa pelaksanaan hukum Islam itu bakal mengakibatkan 1.2 juta rakyat negara ini hilang pekerjaan.

Malah, beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan hudud bakal menjejaskan pelburan negara berikutan keengganan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Lim bagaimanapun ketika menjawab soalan pemberita berkata, pemimpin yang bercakap berkenaan hudud perlu faham dengan apa yang diperkatakan mereka, dan tidak mengeluarkan kenyataan sembarangan.

“Pemimpin yang cakap (hudud) mesti tahu apa yang mereka cakap ... kita perlu faham hudud ada dalam agama Islam,” katanya, dan menambah,”saya mahu hidup dalam suasana harmoni.”

Ekoran kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Dr Chua, terhadap hudud, Pemuda PAS telah menuntut permohonan maaf darinya dengan menghantar memorandum ke pejabat MCA minggu ini.

Malah, DAP juga turut memperikaikan pendirian MCA yang menurut mereka seakan “membisu” berhubung isu hudud apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen minggu ini menegaskan hudud tidak terpakai ke atas bukan muslim.

Ketua Parlimen DAP, merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang semalam turut menuntut penjelasan MCA berhubung pendirian mereka dalam isu hudud ekoran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tindakan Dr Chua terhadap isu hudud ini hanya untuk memastikan masyarakat Cina mengundi MCA, dan bukannya DAP dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Tiada ulasan: