HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2013

Kumpulan Sasar 21 Peratus Tentukan Pakatan Ke Putrajaya

Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita13/umcedels.jpgKUALA LUMPUR - Pengaruh Umno-BN menjunam manakala sokongan kepada Pakatan Rakyat pula terus meningkat daripada luar biasa daripada 18 peratus kepada 37 peratus.   

Kajian terbaru yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan Pakatan Rakyat hanya ketinggalan lima peratus di belakang BN (42 peratus) dalam persaingan untuk meraih undi popular dalam pilihan raya.

Daripada 1409 responden, 42 peratus menjangkakan BN akan menang, 37 peratus pula yakin kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat manakala 21 peratus "tidak pasti".

Pengarah UMCEDEL, Prof. Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil kajian itu menunjukkan pertarungan antara kedua-dua kelompok parti bertanding pada waktu ini adalah bersifat terbuka.

"Kita boleh kata penentu kemenangan bagi kedua-dua parti yang bertanding adalah golongan 21 peratus ini," katanya ketika membentangkan hasil kajian itu di Pejabat UMCEDEL, di Universiti Malaya 23 Januari lalu.

Menurut beliau, kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya itu menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat terus meningkat dari masa ke semasa dan kini hampir dengan BN, sehingga dijangka menghasilkan persaingan paling sengit dalam sejarah politik negara pada PRU-13 nanti.

Kajian yang dijalankan oleh UMCEDEL itu bermula 26 Disember 2012 hingga 11 Januari lalu.

Dalam kajian sebelum ini, sokongan untuk Pakatan Rakyat hanya bermula dengan 18 peratus, manakala BN 43 peratus (Disember 2011), Pakatan Rakyat 21 peratus, manakala BN 49 peratus (April 2012) dan Pakatan Rakyat 30 peratus, manakala BN 44 peratus (September 2012).

Redzuan menjelaskan, daripada golongan 21 peratus yang berada atas pagar itu, jika mengikut pecahan bangsa, paling tinggi adalah golongan Tionghua yang mencatatkan 53 peratus.

Daripada segi pendidikan pula, paling tinggi adalah golongan lepasan ijazah iaitu 49 peratus, manakala daripada segi peringkat umur pula, peratusan paling tinggi adalah yang berumur antara 21 hingga 30 tahun.

Jika dalam kategori status mengundi pula, jelas beliau lagi, peratusan paling tinggi adalah golongan yang kali pertama mengundi iaitu sebanyak 48 peratus.

Beliau merumuskan, parti yang mempunyai peluang untuk menang pada PRU-13 nanti adalah parti yang mampu menguasai golongan 21 peratus itu.

"Bagaimanapun, kita tahu kecenderungannya, tetapi kita tidak boleh mendedahkannya di sini," ujar beliau.

Tiada ulasan: