HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2013

Tuan Ibrahim: Pas anggap isu kalimah ALLAH selesai

FARAH SHAZWANI ALI

Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 
KUALA TERENGGANU - Pas menganggap isu berkaitan kalimah ALLAH sudah selesai dan mengharap ia tidak diperbesarkan lagi kerana boleh menggugat keamanan dan keharmonian di negara ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mana-mana pihak yang memperbesarkan isu itu dilihat hanya kerana ingin mengalih isu lain.

Menurutnya apabila keputusan sudah dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas, pimpinan parti mesti mendokongi keputusan yang dibuat dan tidak boleh bercanggah dengan Majlis Syura.

“Kita tidak mencampuri agama lain, bahkan kita mempertahankan prinsip beragama. Macam orang yang bernama Ali, orang Melayu akan panggil Ali, orang lain pun tetap panggil Ali. Begitu juga kalimah ALLAH.

“Kalau nama kita tidak diterjemah, bagaimana pula dengan nama ALLAH?  Kita harus sensitif dengan agama dan kita pertahankan prinsip beragama, kita tidak akan ganggu agama mereka, sebagaimana kita minta mereka tidak ganggu agama kita.

“Prinsip agama kita kena pelihara kerana ia teras keamanan. Kita kena fikir tiga perkara iaitu isu agama, bangsa dan isu hak. Sepertimana kita pelihara dan pertahan orang Melayu, jaminan orang Melayu dan sebagainya isu bangsa,” katanya ketika ditemui di Markas Pas Kuala Ibai.

Menurutnya, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, tidak spesifik menyebabkan wujud banyak salah faham dan tafsiran dan dalam keputusan Majlis Syura, ia dispesifikkan.

Jelasnya, Pas berpegang bahawa orang bukan Islam boleh menyebut kalimah ALLAH, tetapi tidak boleh menterjemahkan God atau Lord kepada Allah.
“Kita tidak bersetuju kerana kalimah ALLAH tidak boleh diterjemah. Tiada satupun bahasa di dunia ini yang boleh terjemah kalimah ALLAH. Kalau mereka nak sebut, terpulang pada mereka.

“Tetapi apabila mereka nak terjemah, tidak boleh. Seperti dalam lagu negeri, kebanyakannya ada nama ALLAH. Kalau kita larang, mereka tidak boleh menyanyi lagu negeri. Kita tidak ada kuasa untuk melarang, kalau mereka nak sebut, kita tidak ada kuasa nak menghalang,” katanya.

Tiada ulasan: