Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohammed Yoosuf berkata, individu yang menyebarkan berita tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Ada sebuah blog yang memulakan fitnah tersebut dan sudah dikongsi di laman sosial yang lain. Ini menyebabkan kekeliruan sehingga menyebabkan orang ramai salah tafsir.
"Jika ada individu yang menyebarkan berita palsu tersebut, mereka boleh diambil keterangan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Katanya, perbuatan tersebut seharusnya tidak berlaku kerana boleh menimbulkan suasana tidak sihat.
Dalam pada itu katanya, polis menerima 245 laporan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 632 sejak penamaan calon, Sabtu lalu.
Katanya, antara yang dilaporkan adalah edar risalah berkaitan kempen PRU13 di sebuah klinik kesihatan di Perlis; merosakkan papan iklan gergasi di Kuala Nerang,
Kedah; letupan yang menyebabkan seorang cedera di Nibong Tebal: dan tikam serta hiris perut di Johor.
"Adakah ini sifat harmoni yang ada dalam diri kita semua? Jika ada sifat harmoni, insiden khianat, serang, tikam dan menyebarkan fitnah tidak akan berlaku. Kita perlu tanya diri kita sendiri," katanya.
Katanya, tujuh individu juga ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan sebanyak 22 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan