Oleh: Sidiqin Omar
BRICKFIELDS : Rekod pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat lebih baik
berbanding negeri-negeri yang dikuasai BN, kata Setiausaha Agung
KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin
Yassin kononnya Pakatan Rakyat kedah hanya layak mendapat ‘gred E’ atas
alasan gagal mentadbir negeri itu.
Saifuddin berkata, semasa pentadbiran Umno BN di Kedah, hasil balak
hanya bernilai kira-kira RM1,000 seekar, berbanding RM19,000 seekar di
bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Waktu BN jaga, hasil balak hanya RM8 juta. Bandingkan waktu Pakatan
jaga, kita dapat RM80 juta,” katanya dalam ceramah kelompok di
Brickfields, semalam.
Turut hadir dalam ceramah itu adalah calon KEADILAN bagi Parlimen
Lembah pantai, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, S
Ambiga.
Sebelum ini, walaupun kerajaan Kedah menurunkan cukai antara 25
hingga 75 peratus, namun hasil cukai tanah meningkat RM18.69 juta iaitu
peningkatan 21.9 peratus.
Kedah turut mengalami peningkatan hasil 23.9 peratus atau RM87.94
juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55
juta atau RM 0.6 peratus.
Negeri jelapang padi itu juga antara negeri Pakatan Rakyat yang
mencatat kemasukan pelabur tertinggi di Malaysia bagi tempoh 2008 hingga
Oktober 2012, berjumlah RM11.1 bilion dan diakui Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
“Rekod ini mengatasi rekod pentadbiran Barisan Nasional,” kata Saifuddin disambut tepukan gemuruh hadirin.
Justeru, kata Saifuddin, akibat gusar dengan rekod Pakatan Rakyat di
Kedah, pemimpin veteran Umno terpaksa turun berkempen bagi memenangkan
calon BN.
“Sampai bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin yang jarang turun
kempen terpaksa turun ke Merbok. Sebab dia takut. Dia cuba nak kekalkan
Umno-BN.
“Tapi, bolehkah kita percaya dengan orang macam ini?,” soal Saifuddin, disambut ‘tidak’ oleh hadirin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan