HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 April 2013

BN tinggalkan hudud untuk menangi undi Cina, tumpu isu pendidikan, janji tangani rasuah

Oleh Md Izwan

 Muhyiddin menggunakan isu pendidikan dan menangkis dakwaan rasuah ke atas kerajaan pusat. – Gambar Fail
ALOR STAR — Strategi memancing undi masyarakat Cina dengan menakut-nakutkan pelaksanaan menganai pelaksanaan hukum Islam hudud tidak lagi berkesan di negeri Kedah, walaupun Barisan Nasional (BN) sering mengatakan PAS akan melaksanakannya jika memerintah.

Sepanjang lima tahun lalu, tiada sebarang undang-undang Islam dilaksanakan di Kedah, malahan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun berkempen semalam juga tidak menyentuh tentang perkara tersebut semasa pertemuan dengan masyarakat Cina di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di sini.

Muhyiddin sebaliknya menggunakan isu pendidikan dan menangkis dakwaan rasuah ke atas kerajaan pusat dengan menjelaskan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) sengaja berniat jahat untuk mewujudkan rasa benci kepada kerajaan.

“Di Kedah ini, berapa banyak yang kerajaan negeri bina sekolah Cina dan berapa banyak peruntukkan mereka beri? Kerajaan pusat yang bagi banyak, tahun lepas saja dah RM500 juta.

“Isu rasuah pula, pembangkang membuat bermacam tuduhan untuk burukkan kerajaan walaupun bermacam penambahbaikkan kita sudah buat ke atas SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” kata Muhyiddin pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 masyarakat Cina di Alor Setar malam tadi.

Dalam setiap pilihan raya mahupun pilihan raya kecil yang yang diadakan beberapa tahun kebelakangan ini, parti pemerintah BN sentiasa menggunakan media arus perdana untuk menakutkan pengundi bukan Islam tentang hukum hudud.

Walau bagaimanapun, PR dalam manifesto serta dasar kerjasama yang dibuat antara PAS, PKR dan DAP tidak ada menyebut tentang pelaksanaan undang-undang Islam itu.

“Hudud? Saya yakin ia tidak akan dilaksanakan kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi,” kata Lai Hon Kheong kepada The Malaysian Insider yang ditemui pada majlis tersebut.

Lai bagaimanapun berkata kecewa dengan kerajaan negeri yang tidak menyediakan peluang perniagaan yang lebih banyak sebaliknya terpaksa melutut kepada mereka jika mahu mendapatkan sebarang projek yang melibatkan kerajaan negeri.

“Projek? Semua projek kerajaan pusat punya.

“Kalau kita harap PAS punya projek, kita jadi peminta sedekah lah,” kata Lai lagi.

Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Ooi berkata, sepanjang lima tahun kerajaan PAS memerintah tiada sebarang perubahan besar dilakukan dan tidak merasai kepesatan ekonomi di negeri Kedah.

“Apa yang PAS sudah buat? Mereka tidak buat apa-apa pun dalam lima tahun... kali ini kita berilah kepada BN supaya mereka buat lebih baik,” kata Ooi yang merupakan salah seorang guru sekolah di Alor Setar.

“Sebagai contoh, sepanjang lima tahun kerajaan negeri hanya sekali bagi bantuan kepada sekolah Cina,” tambahnya lagi.

Walaupun dianggap sebagai minoriti, pengundi Cina di Kedah sangat signifikan terutama di bandar besar seperti Alor Setar, Sungai Petani Kulim dan Kulim-Bandar Baru yang merupakan penyumbang ekonomi kepada negeri utara tanahair itu.

Semasa berlakunya “tsunami politik 2008”, pengundi Cina merupakan antara faktor kekalahan terburuk BN dalam sejarah dan menjelang pilihan raya umum 5 Mei depan, pembangkang dilihat mempunyai sokongan lebih kuat berbanding parti pemerintah daripada mereka.

Namun, Lai berkata tahun 2008 tidak sama dengan kali ini dan menyifatkan usaha Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak sebagai berjaya akan tetapi mahukan kerajaan lebih serius dalam menangani isu rasuah.

“Tahun 2008 sebab Pak Lah dan harga minyak naik. Sebab itu masyarakat Cina tolak BN,” katanya merujuk kepada perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Walaupun kali ini nampak kuat, kerajaan juga perlu settle dan jangan tutup kes rasuah besar macam itu sahaja,” tambah beliau lagi.Pada 2008, negeri Kedah buat kali pertama dalam sejarah jatuh kepada pembangkang PR.

Ketika ini, PAS menguasai 16 kerusi DUN Kedah diikuti BN dengan 14, PKR 3 dan DAP (1) dan dua wakil rakyat Bebas, yang sebelum ini  merupakan anggota DUN PKR.

Daripada 15 kerusi parlimen di negeri tersebut, PAS menang enam kerusi, PKR menang lima kerusi dan selebihnya dimenangi oleh BN.

Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 di luar negara akan membuang undi pada 5 Mei ini untuk menentukan siapa yang akan berkuasa di Putrajaya.

Tiada ulasan: