HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 April 2013

Bersih minta SPR untuk mengecam keganasan politik

Oleh Boo Su-Lyn

 Suruhanjaya Pilihan Raya digesa mengecam peningkatan keganasan politik menjelang pilihan raya umum. - Gambar The Malaysian InsiderPETALING JAYA — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengecam peningkatan keganasan politik menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini untuk memastikan rakyat Malaysia boleh mengundi dengan bebas dan selamat, kata Bersih 2.0 hari ini.
Dengan enam hari menjelang pilihan raya umum - dikatakan pilihan raya paling sengit dalam sejarah, pemantau pilihan raya itu mengingatkan parti politik untuk menghentikan insiden keganasan seperti bom petrol, ugutan bunuh, termasuk menakut-nakutkan dengan ketegangan kaum dan agama.

“Sebarang parti politik yang cuba menimbulkan ketakutan adalah parti politik yang bangkrap,” kata pengerusi bersama komiti khas Bersih 2.0 Irene Fernandez kepada pemberita di Pusat Komas di sini hari ini.

“Semua elemen yang menyemarakkan keganasan politik dan menimbulkan ketakutan mesti dielakkan,” tambah beliau, mengatakan insiden seperti ini adalah kesalahan pilihan raya kerana menghalang orang daripada mengundi pada Ahad.

Aktivis hak asasi manusia itu juga menyelar presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana menuduh pembangkang terlibat dalam keganasan itu dan mengatakan ahli Barisan Nasional (BN) mungkin bertindak sedemikian.

“Ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab. Ini menyemarakkan kebencian dalam bentuk lain,” kata Fernandez.

Bom petrol dilemparkan ke kompaun rumah anak perempuan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas Khamis lalu menyebabkan keretanya terbakar.

Ketua Menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng juga dilaporkan membuat laporan polis Khamis lalu kerana menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) yang mengugut nyawa isteri dan anaknya dalam bahaya jika beliau dilantik semula menjadi ketua menteri.

Bom petrol dilemparkan ke bilik operasi BN di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah minggu lalu.

Fernandez memberitahu hari ini selebaran diedarkan di Skudai, Johor yang menuduh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah sebagai bertanggungjawab terhadap rusuhan kaum 13 Mei.

“Taktik menakut-nakutkan dan penggunaaan sentimen kaum dan agama adalah hina,” kata Fernandez.

“Walau bagaimanapun kami gembira menteri besar sementara Johor Datuk Abdul Ghani Othman menyelar selebaran itu dan penggunaan isu sensitif semasa kempen pilihan raya,” tambah beliau.

Fernandez turut mengkritik iklan dalam akhbar milik MCA The Star kerana memainkan sentimen kaum dengan mengatakan undi kepada DAP bermaksud undi kepada parti Islam PAS.

Tiada ulasan: