Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi
mempolitikkan insiden Lahad Datu di Sabah dan soal keselamatan negara
semata-mata untuk meraih sokongan kepada BN dalam pilihan raya kali ini,
kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Beliau menyifatkan, kenyataan Zahid kononnya telah mengenalpasti tiga
pemimpin Pakatan Rakyat sebagai dalang insiden Lahad Datu sebagai tidak
bertanggungjawab.
“Beliau secara jelasnya memperolokkan soal keselamatan negara
semata-mata untuk meraih sokongan kepada BN. Kenyataan beliau tidak
bertanggungjawab,” kata Tian pada kenyataan hari ini.
Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemimpin Pakatan yang
dikatakannya itu dan membuat keputusan untuk menyerahkan maklumat
tersebut kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya selepas
pilihan raya.
“Segala kenyataannya seolah-olah kenyataan peribadi untuk
mempolitikkan isu tersebut. Pencerobohan militan Sulu di tanahair kita
perkara yang amat serius, jika apa yang dinyatakan Zahid adalah benar,
tidak perlu tunggu sampai tamat pilihan raya,” kata Tian.
Calon yang akan mempertahan Parlimen Batu itu turut membidas Zahid
kerana mengeluarkan kenyataan palsu berhubung situasi sebenar kejadian
di Lahad Datu.
Menurutnya, akhbar The Star pada 25 April 2013 melaporkan, Zahid
menyatakan 35 orang militan Sulu telah ditembak mati oleh tentera laut
Filipina pada Rabu lalu kerana enggan berpatah balik ke negara itu.
Zahid turut menyatakan bahawa kumpulan tersebut cuba memasuki Sabah
untuk menimbulkan masalah sewaktu PRU 13.
Bagaimanapun, pihak tentera Filipina menafikan sama sekali dakwaan
Zahid itu, malah mereka tidak menerima sebarang laporan yang mengesahkan
dakwaan beliau.
“Kenyataan palsu Zahid mencerminkan beliau dan pentadbiran (Datuk
Seri) Najib (Razak) mempolitikkan pencerobohan di Lahad Datu, sedangkan
pencerobohan tersebut telah mengakibatkan kematian enam orang pasukan
keselamatan dan 62 kematian di pihak militan Sulu,” tegasnya.
“Zahid juga memalukan nama negara di peringkat antarabangsa, terutama
dalam hubungan Malaysia dan Filipina kerana menunjukkan beliau seorang
Menteri Pertahanan yang tidak profesional dan tidak cekap dalam
melaksanakan tugas,” kata Tian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan