HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2013

Penganalisis: Debat manifesto BN-PR masih boleh jadi kenyataan

RUZY ADILA IDRIS
Dr Shaharuddin
Dr Shaharuddin menyampaikan hujah dengan diikuti oleh Dr Mansor pada Wacana Sinar ke-19 petang ini. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
 
SHAH ALAM – Baki empat hari menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dilihat masih sesuai untuk diadakan debat manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menerusi televisyen bagi memberi ruangkepada rakyat membuat pilihan.

Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, sejak seminggu selepas penamaan calon, kebanyakan parti politik kelihatan seperti hilang arah tuju.

“Banyak isu lain yang ditimbulkan seperti politik fitnah dan isu video ditimbulkan sedangkan hasil kajian yang dijalankan menunjukkan mereka yang yakin terhadap kebenaran video tersebut hanyalah 11 peratus manakala 65 peratus lagi tidak percaya.

“Sebenarnya tidak perlu ditimbulkan lagi sebab buang masa. Lebih baik tumpukan perhatian kepada manifesto kerana melalui perdebatan akan dapat mentasi sebarang kelonggaran,” kata beliau ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian bertajuk Manifesto PRU13 Barisan Nasional vs Pakatan Rakyat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf sini, hari ini.

Wacana siri ke-19 ini turut menampilkan panel lain seperti penganalisis politik Dr Maszlee Malik dan Ketua Kluster Etnisiti dan Pekerjaan, Institut Kajian Etnik (Kita), Prof Dr Mansor Mohd Noor serta dikendalikan oleh Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Beliau menambah, manifesto yang baik mestilah bersifat dasar berbanding spesifik kerana ia akan membantu kerajaan mengemukakan dasar yang berkait rapat dengan manifesto itu sendiri.

Katanya, sebenarnya parti politik tidak mempunyai daya upaya untuk melakukan sesuatu manifesto di luar jangkaan kerana perkara itu yang akan menentukan apa lebih menarik di antara kedua-duanya parti.

“Saya yakin manifesto PR tidak sempurna, jadi apabila terdapat komen terhadap manifesto selepas dibentangkan, mereka betulkan serba sedikit dan mempunyai masa untuk menyampaikan kepada rakyat
“BN pun tidak sesempurna mana walaupun dinyatakan secara terperinci kerana apabila dibuat secara terperinci akan terdapat juga kesukarannya,” jelas beliau lagi.

Menyentuh mengenai pembentangan hasil kajian dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) 25 April lalu, Dr Shaharuddin kajian tersebut sebenarnya berkaitan tajuk manifesto, yang mana lebih meyakinkan.

Beliau yang juga ahli panel agensi tersebut berkata, hasil kajian menunjukkan peratusan sokongan rakyat terhadap manifesto PR melebihi BN, tetapi perkara itu tidak didebatkan, sebaliknya populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim melebihi Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi perhatian.

“Soal pokok mengenai manifesto tidak didebatkan sedangkan itulah perkara yang wajar didebatkan iaitu manifesto mana yang lebih meyakinkan kepada rakyat.

“Kajian tersebut menunjukkan persepsi rakyat dan parti politik bertanggunjawab untuk mengumumkan apa yang ingin mereka perjuangkan kepada rakyat dan perlu jujur kepada apa yang dilakukan,” katanya.

Tiada ulasan: