HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 April 2013

Raja Nong Chik: Mana bukti pengundi hantu

HIDAYAH HAIROM

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
 
KUALA LUMPUR - Penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dicabar lawannya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk mendedahkan semua senarai 4,637 daftar pengundi yang dikaitkan dengan pengundi hantu kepada umum agar mereka yang terbabit mengetahui perkara sebenar.

Kelmarin, menerusi satu kenyataan dalam laman twitter yang dikongsikan semula oleh Nurul Izzah, Raja Nong Chik dikatakan menipu selepas memberitahu bahawa ‘pengundi hantu’ ini berasal daripada kawasan rumah setinggan yang kini sudah tidak wujud.

Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, menegaskan ‘pengundi hantu’ yang disenaraikan Nurul Izzah sememangnya berasal daripada kawasan setinggan dan kini sudah ditempatkan di kediaman baru seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Memang ada antara mereka ini berasal daripada kawasan setinggan. Tak semua daripada mereka tukar alamat, tetapi memang mereka sudah mengundi dari dulu lagi. Daripada 400 orang yang sudah dapat dikesan itu, sememangnya mereka adalah penduduk setinggan.

“Sebab itu saya cabar dia (Nurul Izzah), jika dia ada bukti yang mereka ini betul-betul ‘pengundi hantu’ dedahkanlah. Biar semua yang terbabit tahu,”katanya selepas merasmikan surau dan LED Billboard Sekolah Kebangsaan Petaling 1, Jalan Klang Lama di sini, malam kelmarin.

 Beliau menambah, tindakan pengundi yang dikenal pasti namanya disenaraikan, membuat bantahan, adalah hak mereka berikutan kebimbangan atas status mereka sebagai Pengundi Lembah Pantai yang nyaris terjejas.

Mengulas kenyataan salah seorang wakil Nurul Izzah yang mempertikaikan bagaimana 400 daripada 4,637 ‘pengundi hantu’ dapat dikesan, Raja Nong Chik menyifatkan perkara itu berhak diketahui mereka terlibat.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana 400 ‘pengundi hantu’ ini tahu bahawa mereka tersenarai dalam senarai yang dinyatakan dia (Nurul Izzah), tetapi mereka memang berhak untuk tahu perkara ini.

 “Entah-entah nama saya pun ada, sebab itu saya mahu dia dedahkan semua senarai itu, setidak-tidaknya mereka dapat kenal siapa Nurul Izzah sebenarnya,”katanya.

Tiada ulasan: