HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 April 2013

PKR enggan layan desakan Pemuda Pas Chegubard minta maaf

RUZY ADILA IDRIS

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
 
PETALING JAYA - PKR menegaskan tidak akan 'melayan' tuntutan kepimpinan Pemuda Pas Pulau Pinang  agar calon pihaknya di kerusi Dun Sungai Acheh, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard agar meminta maaf berhubung satu kenyataan media 20 April lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebaliknya pihaknya hanya akan merujuk kepada apa yang telah dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan maklum balas berhubung pertembungan kerusi ataupun konflik yang berlaku.

"Pendirian PKR sangat jelas kenapa tak merujuk kepada ucapan Presiden Pas sendiri di mana beliau menjelaskan mengapa beliau sendiri turun ke Pulau Pinang semalam.

"Beliau turun untuk meminta, mengerah dan berkempen supaya semua ahli Pas mengundi calon Pakatan Rakyat (PR)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini, hari ini.

Semalam, Pemuda Pas Pulau Pinang menuntut Chegubard memohon maaf berhubung dakwaannya cuba dipukul oleh Pemuda Pas dan anggota Unit Amal Pemuda Pas pada hari penamaan calon, 20 April lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Norazman Ishak berkata, mereka menuntut Badrul supaya mengemukakan bukti mengenai dakwaan beliau, anak dan isterinya cuba dipukul di hadapan Dewan Serbaguna, Jawi pada hari berkenaan.

“Kita minta dia kemukakan bukti dan buat laporan polis jika ini benar. Jangan hanya cakap sahaja, laporkan kepada polis, biar polis siasat.

"Jika gagal untuk berbuat demikian, Pemuda Pas desak dia minta maaf secara terbuka dan mengakui bahawa ia hanya tuduhan liar terhadap Pemuda Pas Pulau Pinang dan anggota Unit Amal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Permohonan maaf itu dituntut selepas Chegubard didakwa membuat kenyataan itu dalam laman facebook dan twitternya sejak petang hari penamaan calon yang turut mendapat banyak komen daripada pengikutnya.

Beliau juga menyebut perkara itu dalam ceramahnya di Kampung Datuk Keramat, Nibong Tebal.

Sementara itu, tegas Saifuddin lagi, pendirian parti sangat jelas berhubung perkara itu melainkan ada pihak yang ingin melihatnya dari sudut yang negatif.

Katanya, pendirian PKR adalah berdasarkan kenyataan yang telah dikeluarkan Hadi sebelum ini.

"... dan untuk tiga hingga empat berbaki hari lagi, PKR tidak akan teralih dengan sebarang komen daripada pimpinan bawahan," tegas beliau.

Tiada ulasan: