HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2013

Kenapa 5 pegawai Najib dapat jadi calon?

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Langkah Datuk Najib Tun Razak mencalonkan lima orang pegawainya terdekatnya bertanding dalam PRU 13 ini memberi petanda bahawa Pengerusi BN itu tidak yakin partinya akan kekal memerintah negara selepas ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib memberi laluan kepada lima pegawai di pejabatnya itu supaya mereka membawa haluan masing-masing selepas ini.

"Saya percaya tindakan ini adalah kerana Najib tidak yakin dia akan jadi Perdana Menteri selepas PRU, sama ada BN kalah atau BN tidak mendapat 2/3 majoriti," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz membayangkan Najib mengambil langkah awal ini kerana kelima-lima pegawainya mungkin tidak ada tempat dipejabatnya selepas ini.

"Aku pilih kamu jadi calon, untung nasib kamulah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kamu pandai-pandailah bawa diri, aku tidak mampu jadi PM," ujar Mahfuz sinis.

Dalam PRU kali ini, Najib mencalonkan empat setiausaha politiknya iaitu Datuk Mohd Fatmi Salleh di parlimen Kota Baru, Datuk Shahlan Ismail (Pokok Sena), Datuk Mohd Suffian Awang (Kuantan) dan Datuk Mohd Shafie Abdullah (Wangsa Maju), manakala seorang lagi  Pegawai Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Datuk Latt Shahriman yang bertanding di kerusi Dun Kubang Rotan, Kedah.

Mohd Fatmi yang juga ketua Umno bahagian Kota Baru bertanding untuk kali kedua setelah kalah pada 2008.

Manakala, Mohd Shafie, Shahlan, Mohd Suffian dan Latt Shahriman membuat percubaan yang pertama.

Dalam pada itu, pencalonan kesemua mereka juga didakwa turut menimbulkan kekecohan dalam umno.

Ini kerana kerusi-kerusi tersebut secara tradisinya untuk pemimpin Umno tempatan tetapi mereka terpaksa beralah untuk calon pilihan Najib tersebut.

Tiada ulasan: