HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 April 2013

Fokus 'Giant Killer': Radzali tak gerun berdepan Khairy

Wartawan Sinar Harian

Fokus 'Giant Killer': Radzali tak gerun berdepan Khairy
Khairy bersalaman dengan Radzali ketika bertemu di pasar tani di Pekan Rembau.
 
REMBAU – “Walaupun pihak lawan adalah pemimpin dikenali ramai yang popularitinya jauh hebat berbanding saya kerana beliau adalah Ketua Pemuda Umno, namun saya harap kelebihan saya sebagai anak tempatan dan boleh memberikan fokus untuk berkhidmat di sini dapat membantu meraih kepercayaan pengundi,” kata calon PKR kerusi Parlimen Rembau, Radzali A Ghani, 58.

Walaupun bertanding buat kali pertama di kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan terus berdepan dengan nama besar sehebat Khairy Jamaluddin, ia tidak sedikit pun menimbulkan rasa gentar di hati Radzali.

Berbekalkan pengalaman selama 14 tahun dalam bidang politik, Radzali berkata, beliau percaya rakyat kini telah bangkit untuk berubah dan boleh menilai tawaran PR menerusi manifesto mereka.

“Saya tidak tertekan dan lebih gemar menggunakan pendekatan berjumpa dan mendengar masalah rakyat agar masalah mereka boleh dibantu jika diberi mandat pada 5 Mei nanti.

“Dalam pilihan raya umum, kemenangan untuk semua calon adalah sama rata, cuma tinggal lagi bagaimanakah langkah serta usaha untuk memenangi hati rakyat,” katanya ketika ditemui di Kampung Pilin di sini, semalam.

Suatu fakta menarik, tidak ramai yang tahu Radzali yang juga Pengasas Ketua Penaja PKR Cabang Rembau pada tahun 2004 dan Khairy sebenarnya bersaudara.

“Khairy adalah sepupu isteri saya. Kami bukanlah musuh, cuma dalam dasar perjuangan politik sahaja berbeza. Saya akui Khairy merupakan pemimpin yang berwibawa tetapi dalam memperjuangkan untuk kerusi Parlimen Rembau saya juga mempunyai peluang yang sama.

“Saya sedar saya ‘nobody’, tetapi disebabkan saya adalah anak tempatan dan sedia memberi khidmat sepenuhnya kepada penduduk di kawasan Rembau berbanding pihak lawan, saya percaya peluang untuk saya menang cerah,” katanya yang mengakui biarpun pegangan politik mereka berbeza, namun hubungan kekeluargaan yang terjalin tetap utuh.

Terdahulu, ketika membuat kunjungan sempena kempennya, Radzali sempat bersalaman dengan Khairy ketika bertembung di pasar tani di Pekan Rembau yang juga kebetulan membuat lawatan ke situ.

Tiada ulasan: