HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 April 2013

Che Johan: 'Saya tidak takut atau bersembunyi'

Wartawan Sinar Harian

Saya tidak sembunyi: Johan
Pemimpin BN Pasir Mas melaungkan kata semangat Gelombang Merah bersama Tun Mahathir, kelmarin.
 
PASIR MAS – “Saya tidak takut atau bersembunyi,” kata Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa semasa majlis mesra bersama bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, kelmarin.

Johan berkata, selepas beliau tidak menyerahkan borang pencalonan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), 20 April lalu, banyak pihak mengeluarkan dakyah bahawa beliau takut berdepan dengan masyarakat.

“Ada yang kata saya lari, sembunyi dan enggan bertemu dengan masyarakat khususnya penyokong Umno.

“Saya tidak sembunyi, sebaliknya mengikuti semua gerak kerja bersama calon BN di sini dan bertindak sedemikian selepas menilai semua aspek baik dari sudut positif mahupun negatif,” katanya ketika berucap.

Menurutnya, beliau mendapat pandangan daripada banyak pihak supaya berfikir dengan bijak, termasuk daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Menghormati nasihat Tun sebagai pemimpin malah mengagumi kepimpinan Datuk Ibrahim Ali, saya rela menarik diri daripada bertanding dalam PRU kali ini,” katanya.

Sementara itu, Tun Mahathir berkata, sekiranya wujud pertembungan tiga penjuru bagi P22, beliau percaya BN berdepan jalan sukar untuk mengalahkan calon Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, tiada guna BN berkempen untuk kalah dan sedar ia akan memberi kemenangan mudah kepada Pas.

Menurutnya, tindakan Che Johan tidak menyerahkan borang semasa penamaan calon 20 April lalu adalah tepat, kerana ia akan menyebabkan Pas kalah di tangan calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

Mahathir mengakui, ramai pemimpin BN kecewa apabila tidak tercalon dalam PRU kali ini, hingga ada yang bertindak hingga merugikan parti.

“Tidak bagi Johan, apabila beliau sanggup tarik diri demi memastikan Pas kalah, meskipun sedar beliau mungkin akan dikenakan tindakan disiplin.

“Pemimpin BN perlu mencontohi Johan kerana peranannya adalah untuk parti, bukannya diri sendiri,” katanya, selepas majlis, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Ibrahim dan calon BN bagi Dun Tendong Datuk Hanapi Mamat, Dun Pengkalan Pasir Tuan Anuwa Tuan Mat dan Dun Chetok Aimi Jusoh.

Akibat tindakan Johan, PRU yang dijangka berlangsung Ahad ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Ibrahim Ali, dengan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Tiada ulasan: